Loading...

Friday, October 5, 2012

KAEDAH INDUKTIF DAN DEDUKTIF

KAEDAH INDUKTIF DAN DEDUKTIF
          Kaedah induktif merupakan salah satu kaedah mengajar yang sesuai digunakan dalam pengajaran pelbagai mata pelajaran, khususnya Matematik, Sains dan Bahasa (Mok Soon Sang, 2001). Pengajaran berasaskan gaya induktif adalah satu pendekatan mengajar yang melibatkan satu proses penaakulan yang tinggi di mana melibatkan aktiviti mengumpul dan mentafsir maklumat-maklumat, kemudian membuat generalisasi atau kesimpulan (Kamarudin Husin & Siti Hajar Abdul Aziz, 2004). Hilda Taba mempercayai bahawa pelajar membuat generalisasi hanya setelah maklumat dapat diorganisasi dengan sempurna. Taba adalah lebih dikenali dengan model pengajarannya yang melibatkan pemikiran induktif. Menurut beliau, dengan menggunakan pelbagai strategi, pelajar boleh dibantu menyelesaikan masalah dengan jayanya. Strategi induktif ini mengalir dalam proses kognitif dan memerlukan pelajar menggunakan teknik soalan-soalan ringkas (Hilda Taba, 1962). Pengajaran berasaskan gaya pemikiran deduktif adalah satu pendekatan mengajar yang mengasaskan pengajaran berdasarkan keseluruhan konsep. Konsep deduktif boleh ditakrifkan sebagai sesuatu pendekatan mengajar yang bermula daripada sesuatu atau beberapa rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan yang diikuti dengan aplikasinya ke atas contoh-contoh yang khusus (Mok Soon Sang, 2003). Seperti dalam pendekatan induktif, ia juga menggunakan proses penaakulan yang tinggi. Kaedah deduktif berlandaskan pendekatannya merupakan kaedah mengajar yang kompleks kerana ia memerlukan murid-murid memperolehi kefahaman yang mendalam dan pengetahuan yang cukup. Dalam pengajaran dan pembelajaran sesuatu ‘subjek matter’, pendekatan deduktif melibatkan pelajar-pelajar mempelajari peraturan-peraturan atau diberi maklumat tertentu sebelum mereka diminta melakukan penganalisisan bahan yang hendak dipelajari itu. Kaedah ini menjadi pilihan, kerana pelajar terlibat secara aktif dalam kumpulan dan dapat melatih mereka untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Pelajar lemah dapat berinteraksi dengan pelajar pandai. Selain itu mereka dapat melatih diri untuk berkomunikasi dan bergaul dengan pelajar yang pelbagai latar belakang. Pendekatan Induktif Pendekatan Induktif memberi peluang kepada pelajar membuat kesimpulan sendiri mengenai sesuatu konsep ataupun benda. Ianya mengutamakan contoh-contoh pada awal pengajaran dan dibuat generelisasi daripadanya. Pendekatan Induktif ini juga tidak digalakan memberi definisi penerangan dan kandungan pelajaran dan ianya lebih mengutamakan mengemukakan soalan, memerhati, mengkaji, membentuk contoh serta kesimpulan diberikan kemudian. 

 Konsep Induktif Antara Konsep Induktif ialah:- 
1. Mempelajari sesuatu untuk mendapatkan “hukum” 
2. Memperkenalkan pengetahuan dan memberi pengalaman. 
3. Membentuk satu kesimpulan umum daripada contoh-contoh tertentu. 
4. Cuba mendapatkan kesimpulan melalui satu urutan pemikiran. 
5. Membuat satu andaian yang munasabah daripada yang spesifik kepada umum. 
6. Bermatlamatkan kepada pembentukan kebiasaan. 
7. Menggunakan pengantaraan deria (pengalaman deria) untuk mendapatkan pengetahuan. 
8. Memerlukan kekerapan ulangan dalam pelbagai konteks untu menguasai sesuatu kemahiran. 
9. Menekankan pengajaran berbentuk konkrit. 
10. Memberi peluang sepenuhnya kepada murid belajar di bawah bimbingan guru. 
11. Menekankan penglibtan murid secara aktif. 
12. Mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan berkesan. 
13. Banyak menekankan aspek lisan. 

  Kelebihan Pendekatan Induktif 
Kelebihan pendekatan induktif ialah pendekatan ini dapat mengasah kemahiran berfikir dalam kalangan murid. Hal ini disebabkan mereka perlu menggunakan keupayaan mental untuk mengenal pasti rumus-rumus yang menjadi dasar kepada pembentukan sesuatu ayat. Selain itu, daya kefahaman dan ingatan murid terhadap isi pelajaran dapat dipertingkatkan kerana mereka sendiri yang terlibat dalam pengesanan rumus. Pendekatan ini juga melibatkan penyerapan yang aktif dalam kalangan pelajar.Melalui pendekatan ini, strategi perbincangan dapat digalakkan kerana tugas menentukan rumus dibuat oleh murid-murid sendiri dengan ini suasana pembelajaranakan menjadi lebih hidup. Kelebihan lain menggunakan pendekatan ini ialah kemahiran lisan dapat disuburkan kerana pendekatan ini memerlukan perbincangan yang banyak di dalam bilik darjah dan juga murid-murid tidak begitu dibebani dengan rumus-rumus pada peringkat awal pembelajaran sebaliknya mereka didedahkan dengan pelbagai contoh penggunaan terlebih dahulu. Justeru itu perkara ini boleh mengurangkan kebosanan mereka 

  Kelemahan Pendekatan Induktif 
Setiap sesuatu itu mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri begitu juga dengan pendekatan induktif. Antara kelemahaan pendekatan ini adalah pengajaran yang dilakukan mengambil masa yang panjang kerana guru perlu membimbing murid mengesan rumus. Sekiranya sesebuah kelas itu terdiri daripada murid-murid yang ramai jumlahnya, penjurusan fikiran ke satu arah sukar dibuat kerana setiap murid mempunyai fikiran, pendapat dan pemahaman yang berbeza. Bagi murid-murid yang lemah pula, pendekatan ini akan menimbulkan masalah kerana adalah sukar bagi mereka untuk memikirkan rumus-rumus daripada contoh-contoh ayat yang diberikan. 

  Model Deduktif 
 Dalam pengajaran yang bermodelkan pendekatan ini guru memainkan peranan penting untuk menerangkan atau mengajarkan dan diasaskan kepada hoskut tertentu, manakala murid hanya mendengar dan mengikutinya. Walaubagaimanapun, kefahaman mereka dinilai melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan pada peringkat aplikasi. Untuk menentukan bahawa pengajaran ini mendatangkan kesan yang lebih mendalam, guru haruslah memastikan bahawa generalisasi yang hendak diajarkan itu dihuraikan dengan jelas, difahami dan contoh-contoh penerapan generalisasi di dalam ayat-ayat mestilah mencukupi dan benar-benar menepati rumus-rumus tersebut. Guru tidak digalakkan untuk dimasukkan contoh-contoh yang memperlihatkan penyimpangan, terutamanya pada awal pengajaran. Contoh-contoh tidak semestinya diberikan oleh guru tetapi boleh juga diminta daripada murid, iaitu setelah contoh-contoh yang disediakan oleh guru dikemukakan. Dalam aplikasi pula, latihan-latihan yang disediakan haruslah beraneka jenis dan dalam konteks yang bermakna. Hal ini bertujuan untuk memberi peluang kepada murid menerapkan rumus dalam situasi yang baru. Pendekakatan menggunakan deduktif dicirikan dengan pelajar mempelajari berdasarkan sesuatu hukum. Pelajar perlu menaakul untuk mendapatkan fakta/contoh AplikasiContohRumus/Generalisasi

  Konsep Deduktif 
1. Mempelajari sesuatu berdasarkan sesuatu hukum. 
2. Satu produksi fakta untuk membuktikan satu penyataan umum. 
3. Menganalisa fakta yang membentuk generalisasi. 
4. Membuat satu penghuraian daripada umum kepada khusus. 

  Kelebihan Pendekatan Deduktif.
 Kelebihan pendekatan deduktif adalah ianya memudahkan tugas guru yang mana guru mengemukakan prinsip asas manakala murid menggunakan prinsip berkenaan. Pendekatan ini berbeza dengan pendekatan induktif kerana pendekatan ini cara ini cepat dan menjimatkan masa pengajaran kerana rumus-rumus disediakan dan dihuraikan terus oleh guru. Murid tidak perlu mengambil masa untuk memikirkan atau mengesan rumus. Pendekatan ini juga boleh meninggalkan kesan pembelajaran yang memuaskan kepada pelajar-pelajar dewasa. Apa yang lebih penting ialah ianya tiada risiko mendapat hasil yang salah atau tidak sempurna. 

  Kelemahan Pendekatan Deduktif 
 Manakala kelemahan menggunakan pendekatan ini adalah pengajaran mungkin membosankan kerana murid dibebani dengan rumus-rumus yang wajib dipatuhi. Pendekatan ini boleh mengongkong kreativiti mereka kerana mereka terlalu terikat kepada rumus. Selain itu, pemikiran murid tidak tercabar untuk mengesan dan menentukan rumus kerana rumus-rumus diberikan oleh guru. Justeru itu, penglibatan murid tidak begitu aktif kerana guru lebih banyak memainkan peranan, khususnya dalam hal menghuraikan rumus. Melihat dari segipsikologi, sesuatu yang dapat dikesan atau dijumpai sendiri oleh murid dalam sesuatu pembelajaran dapat menjamin ingatan yang lebih kekal, berbanding dengan sesuatu yang diberitahu terus oleh guru. Dengan demikian, pendekatan ini tidak begitumenjamin ingatan yang berkekalan dalam kalangan murid tentang rumus-rumus yang diajarkan itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...