Loading...

Tuesday, May 29, 2012

SUMBANGAN MANTAN PERDANA MENTERI (TUNKU ABDUL RAHMAN, TUN ABDUL RAZAK, TUN MAHATHIR MOHAMAD)

Malaysia telah banyak menyumbangkan kepakaran di peringkat antarabangsa semenjak dari zaman penjajahan portugis di Melaka pada tahun 1511 sehinggala pada era Dato’ Seri Najib Tun Haji Abdul Razak sekarang. Sumbangan Malaysia kepada dunia luar amat luas dan merangkumi pelbagai bidang dan agenda. Antaranya ialah bidang industri, politik pertanian, sukan, hiburan, pelancongan, sejarah ketamadunan bangsa serta agama dan sebagainya lagi yang membolehkan Malaysia di kenali di peringkat seantero dunia. Telah ramai pemimpin Negara yang menyumbang kepada kemajuan Malaysia dalam pelbagai bidang ini. Contohnya Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohammad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Malaysia yang keenam Dato’ Seri Najib Tun Razak. Kesemua mereka telah memberi sumbangan yang tidak sedikit kepada Malaysia dahulu, kini dan akan datang. Sejak merdeka pada tahun 1957, Malaysia telah ditadbir di bawah kepimpinan enam Perdana Menteri.


Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj ( Bapa Kemerdekaan ) PERDANA MENTERI MALAYSIA - Pertama 

Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj dilahirkan pada 8 Febuari 1903 di Alor Setar, Kedah. Baginda merupakan anak ketujuh Sultan Kedah yang ke 24 iaitu Sultan Abdul Hamid Shah. Bonda Tunku bernama Manjalara. Beliau semasa kecil dibesarkan di Istana Kota Lama atau lebih dikenali sebagai Istana Tiga Tangga. Walaupun beliau dari keluarga diRaja namun jiwa rakyatnya tumbuh subur dan beliau lebih gemar berkawan dengan rakyat jelata. Tunku mendapat pendidikan awal di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Antara guru beliau ialah Cikgu Mohamad bin Iskandar ( Bapa Tun Mahathir Muhammed ) dan Cikgu Hassan. Semasa beliau berusia 13 tahun beliau menyambung pelajaran di Sekolah Debsirindir, Bangkok. Di sekolah ini beliau mendalami Bahasa Siam dan juga Bahasa Inggeris. Di Bangkok beliau tinggal dengan ayah saudaranya iaitu Tunku Yusoff. Pada tahun 1916, apabila Tunku Yusoff meninggal dunia beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Alor Setar, Kedah. Kemudiannya menyambung pelajaran di Penang Free School. Antara guru beliau ialah En. Goh, Mr Hamilton, Mr. Davies, Mr Butler dan Mr. Star. Setelah tamat dengan jayanya beliau melanjutkan pelajaran ke St. Catherine College tahun 1920 dari Cambridge University di England dari tahun 1922-1923. Di England, beliau bersama-sama sahabatnya iaitu Tuanku Abdul Rahman (YDPA Pertama) menubuhkan Malay Society of Great Britain. Baginda merupakan setiausaha pertama persatuan tersebut. ( Yusof Hashim. 1986:20 ) Pada tahun 1931 beliau kembali ke Tanah Melayu dan menjawat jawatan Penolong Pegawai Daerah Kulim dan kemudian dipindahkan ke Kuala Nerang. Pada tahun 1933 Tunku dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Kulim. Kemudian dipindahkan ke Pulau Langkawi dengan jawatan yang sama iaitu Pegawai Daerah pulau Langkawi. Tanggungjawab sebagai Pegawai Daerah membuatkan beliau dekat dengan rakyat jelata khususnya peninjauan hidup masyarakat yang serba dalam keadaan daif. Tunku berasa sungguh insaf melihatkan bangsa sendiri insaf melihatkan bangsa sendiri hidup dalam keadaan mundur dan miskin. Tahun 1931 baginda menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwani gadis cina berketurunan siam bernama Meriam setelah memeluk islam. Perkahwinan mereka ini dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Tunku Khatijah dan Tunku Ahmad Nerang. Namun jodohnya tidak panjang kerana isteri kesayangannya meninggal dunia kerana mengidap penyakit malaria. Pada tahun 1939 baginda mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Sharifah Rodziah dan kekal hingga ke akhir hayat. Beliau meninggal dunia ketika berusia 87 tahun iaitu pada 10 Disember 1990 dan dikebumikan di Makam Diraja, Langgar. Sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (31 Ogos 1957 – 22 September 1970 )
Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang digelar sebagai “Bapa Kemerdekaan” adalah orang yang bertanggungjawab berusaha memerdekakan Tanah Melayu dari cengkaman Pihak penjajah terutama pihak British. Tanggal 31 Ogos 1957, tepat pukul 12.00 malam, Tunku Abdul Rahman melaungkan ungkapan “Merdeka” dan diikuti keesokan harinya laungan “Merdeka” dilaungkan sekali lagi sebanyak 7 kali di Stadium Merdeka. Seluruh rakyat Malaysia berbangga dan berasa sebak di atas kurniaan kemerdekaan ini setelah hidup dalam penjajahan selama 450 tahun. Kembara Di dalam Politik Pengunduran Dato’ Onn Jaafar dari Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR/UMNO) telah memberikan ruang yang secukupnya untuk Tunku Abdul Rahman memperlihatkan kepimpinan yang dinamik dan halatuju kepimpinan melayu ke arah yang lebih jelas dan terbuka. Tugas sebagai pegawai daerah banyak mendidik beliau untuk menjad seorang politikus melayu yang prihatin dengan perjuangan membela nasib bangsa melayu. Lantaran itu apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden Umno pada tahun 1951 telah memeberikan baginda kesempatan yang baik untuk memperjuangkan nasib bangsa melayu yang dilihatnya sebagai salah satu bangsa yang ketinggalan dalam semua lapangan kehidupan. Pada Pasca merdeka, kerajaan Perikatan di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah mengusulkan pembentukan Gagasan Malaysia pada tahun 1961. Pembentukan Malaysia yang mengabungkan Semenanjung Tanah Melayu, singapura, Borneo Utara (Sabah) Brunei dan Sarawak telah ditentang oleh Dr. Burhanuddin dan tokoh-tokoh radikal yang lain seperti Ahmad Boestamam, Prof. Zulkifli Muhammad dan Dato’ Onn yang turut berada dalam Dewan Rakyat. Sebagai contoh Dr. Burhanudin menegaskan di Dewan Rakyat bahawa konsep Malaysia yang hendak dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan haruslah berpaksikan kepada Konsep Melayu Raya. Pada 29 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman telah melancarkan cadangan penyatuan negeri-negeri Melayu di Singapura. Cadangan yang dikemukakan oleh Tunku ini kemudiannya mendapat sambutan yang menggalakkan dan seterusnya mendapat liputan akhbar-akhbar dalam dan luar Negara dengan meluasnya. Bukan setakat cadangan sahaja tetapi diikuti dengan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Setiakawan ‘Melayu Raya’ yang dianggotai negeri-negeri seperti Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei yang dipengerusikan Donald Stephens. Kegiatan Islam Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya. Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951. Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi yang khusus di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988. Sumbangan Tunku kepada dunia tidak terlalu besar dan meluas memandangkan beliau banyak menaburkan bakti dan berjasa kepada rakyat tempatan dalam usaha untuk memperoleh kemerdekaan daripada penjajah. Tun Abdul Razak Hussein ( Bapa Pembangunan ) 

PERDANA MENTERI MALAYSIA – Kedua
Abdul Razak bin Hussein dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pekan, Pahang, dan telah dibesarkan oleh datuknya dalam keluarga yang memelihara tradisi, adat resam dan agama. Abdul Razak membesar sebagai seorang kanak-kanak yang sering disebut sebagai contoh di kampungnya, taat kepada orang tua, cerdas dan bersopan-santun.Abdul Razak mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Melayu di Kampung Langgar di Pekan, Pahang pada zaman awal pemerintahan British. Dia bukan seorang pelajar miskin – ayahnya ialah Datuk Hussein, salah seorang pembesar wilayah di negeri Pahang. Namun begitu dia pergi ke sekolah berkaki ayam, semata-mata kerana perasaan hormat kepada rakan-rakannya yang rata-rata datang dari keluarga miskin dan tidak mampu membeli kasut sekolah. Begitulah awalnya kesedaran yang tertanam pada diri Abdul Razak tentang kepayahan hidup orang Melayu luar bandar ketika itu. Pada 1934 Abdul Razak melanjutkan pengajian ke peringkat menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, di mana dia terus menunjukkan kecemerlangannya, bukan sahaja di bidang akademik tetapi juga di padang bola, hoki dan kriket, juga dalam kepimpinan pelajar. Tamat pengajian menengah, Abdul Razak memasuki Kolej Raffles di Singapura, tetapi pengajiannya terbantut bila Perang Dunia Kedua meletus. Dua tahun selepas perang berakhir, pada 1947 Abdul Razak mendapat biasiswa kerajaan British untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di England. Semasa di England, Abdul Razak mula aktif dalam politik. Pada masa itu, bakal Perdana Menteri Tanah Melayu , Tunku Abdul Rahman, juga sedang mengambil jurusan undang-undang di tempat yang sama. Tunku pada waktu itu adalah Yang Dipertua Persatuan Melayu Great Britain manakala Abdul Razak adalah setiausahanya. Abdul Razak juga telah menubuhkan Forum Tanah Melayu, yang merupakan wadah untuk pelajar-pelajar dari Tanah Melayu berdiskusi tentang isu-isu tanah air. Pada 1950 Abdul Razak menerima ijazah undang-undang dari Lincoln's Inn. Sekembali ke tanah air, Abdul Razak menyertai Perkhidmatan Awam. Pada tahun yang sama, beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno. Pada tahun berikutnya, Abdul Razak dilantik menjadi Timbalan Presiden Umno, ketika usianya 29 tahun. Sebagai sahabat kepada Tunku Abdul Rahman sejak zaman pengajian di London, Abdul Razak cepat dapat meletakkan dirinya sebagai orang nombor dua Umno dalam melaksanakan pelan pembangunan untuk Tanah Melayu. Pada 1953 Abdul Razak telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, dan dua tahun berikutnya pada usia 34 tahun, Abdul Razak menjadi Menteri Besar Pahang yang termuda. Bila Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pertama pada 1955, Datuk Abdul Razak telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama Tunku Abdul Rahman. Pada tahun berikutnya Abdul Razak berada di London sekali lagi bersama Tunku Abdul Rahman, kali ini sebagai anggota rombongan Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada Britain. Tun Abdul Razak meninggal dunia akibat leukemia di London pada Januari 1976. Pemergiannya yang tiba-tiba ketika rakyat sedang menikmati pembangunan, telah menggoncang seluruh negara. Tun Abdul Razak tidak sempat melihat hasil terbaik usaha-usahanya, tetapi batu asas pembangunan yang telah diletakkannya untuk Malaysia telah membuka ruang untuk negara meneruskan pembangunan yang lebih pesat seperti yang dinikmati hingga hari ini. Sumbangan Tun Abdul Razak (22 September 1970 - 14 Januari 1976)
Tidak sampai 18 bulan selepas Kemerdekaan dicapai, Abdul Razak telah dipertanggungjawabkan memikul tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar. Abdul Razak menjalankan kedua-kedua tugas dengan penuh tanggungjawab dan tenaga yang tidak mengenal erti gagal. Malah, sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri Luar Bandar, Abdul Razak terus bangkit bertindak, merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan melalui siri rancangan lima-tahun. Sepanjang sepuluh tahun Abdul Razak memegang portfolio itu, beliau telah menjelajah sejauh tidak kurang 60,000 batu setahun ke setiap daerah di seluruh negara. Beliau telah mempamerkan iltizam yang tinggi dalam memperbaiki taraf kehidupan penduduk luar bandar. Rancangan Buku Merah dan Bilik Gerakan yang dipelopori Abdul Razak mencatit setiap butir perkembangan projek di setiap daerah rintangan, kegagalan, kemajuan dan kejayaannya. Pada awal 1960an ternyata para petani dan nelayan di seluruh negara mula menikmati hasil usaha mereka, suatu yang amat jarang berlaku sebelum itu.Tentunya, Abdul Razak bukan sahaja menumpukan usahanya kepada pembangunan luar bandar semata-mata. Selain mengusahakan penubuhan Felda, Felcra, Risda dan badan-badan lain yang bersangkutan pembangunan luar bandar, Abdul Razak juga mengusulkan penubuhan institusi-institusi lain seperti Bank Bumiputera, Mara, ITM, Universiti Kebangsaan, Perbadanan Nasional Berhad, Petronas dan Perbadanan kemajuan Ekonomi di setiap negeri. Sebagai Menteri Pelajaran pertama, Abdul Razak membentuk Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran di pusat-pusat pendidikan. Dengan dasar yang berpandangan jauh ini, keharmonian kaum telah dapat disemaikan di peringkat kanak-kanak. Dikira dari hari pertama Abdul Razak memikul tugas sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membina sejumlah 3,000 buah sekolah, manakala tiga juta orang dewasa yang buta huruf telah dapat membaca dan menulis. Selepas pilihan raya tahun 1969, satu perselisihan kaum telah tercetus di Kuala Lumpur, ditiupkan pula oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Keadaan darurat telah diisytiharkan dan sebuah badan dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan, dengan Abdul Razak sebagai pengarahnya. Abdul Razak mengepalai MAGERAN selama 21 bulan. Di bawah pengurusan bijaksana Abdul Razak, ketenteraman dapat dipulihkan dan kedua-dua pihak bertelagah dapat berbaik semula dan bekerja bersama seperti sebelumnya. Pada September 1970, Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua, selepas Tunku meletakkan jawatan dari kerajaan dan Parti Perikatan. Tun Abdul Razak menyambung usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Tunku, mengisi Kemerdekaan yang baru dicapai dengan pelbagai projek pembangunan ekonomi dan sosial. Pentadbirannya yang tidak sampai enam tahun telah menyaksikan pembangunan yang begitu pesat di seluruh negara. Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada pertengahan 1970 untuk membasmi kemiskinan di kalangan semua kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama. Jika disenaraikan satu-persatu sumbangan Tun Abdul Razak kepada negara, pastinya ia akan menjadi buku yang tebal, namun di antara pemberiannya yang paling berharga ialah pengwujudan Dasar Kebudayaan Nasional, yang telah menyediakan asas penting bagi pembentukan satu budaya Malaysia yang unik dan menggabungkan ciri-ciri semua kaum serta kesucian agama dan pengenalan Rukunegara sebagai ideologi nasional yang menggariskan hasrat serta ikrar rakyat Malaysia ke arah mencipta masyarakat Malaysia yang saksama, progresif, liberal dan bertatasusila. Di sebalik perwatakannya yang pendiam dan lemah lembut, Tun Abdul Razak sebenarnya adalah seorang wira berani yang sanggup mengharungi seribu rintangan dalam memajukan dan membela nasib rakyat. Bertepatanlah bila beliau dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan Malaysia. Untuk kestabilan serantau, Abdul Razak mengusulkan pengwujudan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) bagi Asia Tenggara. Beliau juga telah merintis jalan bagi menjalin hubungan yang lebuh baik dengan Republik Rakyat China. Dua tahun selepas menjadi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak membuat keputusan untuk menjemput Dr Mahathir Mohamad, yang tersingkir pada 1969, kembali ke pangkuan Umno. Natijah dari keputusan ini telah mencipta beberapa dekad yang paling bermakna dalam sejarah Malaysia. 

 Tun Dr. Mahathir bin Mohamad ( Bapa Pemodenan ) Perdana Menteri Malaysia Keempat
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah tanggal 10 Julai 1925. Merupakan anak bongsu daripada 9 adik-beradik dari pasangan Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi. Tarikh lahir beliau yang didaftarkan pada 20 Disember 1925 (kesemua adik-beradik beliau didaftarkan lahir pada bulan Disember) oleh bapannya adalah untuk memudahkan urusan pendaftaran persekolahan. Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES) (kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid), Alor Setar pada tahun 1932. Sewaktu semua sekolah ditutup di eraPendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau telah membuka kedai kopi secara kecil-kecilan dan kemudiannya berniaga pisang goreng. Setelah tamat Perang Dunia Ke-2, beliau menyambung pelajarannya di sekolah yang sama pada tahun 1945 sehingga peringkat Sijil Tinggi Pelajaran (Senior Cambridge). Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia. Dr Mahathir telah bergiat aktif dalam politik sejak 1945 yang mana beliau mengambil bahagian dalam kempen menentang Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan pada 1946, beliau adalah salah seorang yang pertama mendaftarkan diri sebagai ahli. Sebagai Pengerusi Parti Negeri Kedah, dan Pengerusi Jawatankuasa Politik, beliau dengan tidak sengajanya menimbulkan perasaan marah dengan golongan yang mempunyai perkaitan dengan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila beliau membentangkan kriteria-kriteria kelayakan dalam pemilihan calon untuk pilihan raya umum 1959. Berasa sakit hati atas penuduhan bahawa beliau hendak memilihkan calon-calon yang rapat dengannya, Dr Mahathir enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut. Pada Pilihan Raya Ketiga dalam tahun 1964, Dr Mahathir dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Setar selepas menewaskan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan majoriti sebanyak 60.2%. Beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1965. Dalam Pilihan Raya 1969, beliau ditewaskan oleh calon PAS, Haji Yusoff Rawa, dengan cuma 989 undi sahaja, selepas beliau mengumumkan bahawa beliau tidak memerlukan undi-undi orang Cina untuk mencapai kerusinya. Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO pada 12 Julai, selepas pengedaran umum suratnya kepada Tunku Abdul Rahman. Dalam suratnya, beliau telah mengkritik cara pentadbiran Tunku. Pada 26 September 1969, Dr Mahathir juga dipecat keahliannya dalam UMNO. Semasa di luar parti, Tun Dr Mahathir mengarang buku "Dilema Melayu" (The Malay Dilemma). Buku kontroversi itu, yang mendedah dan menganalisis perwatakan orang Melayu telah diharamkan pada tahun 1970 dan pengharamannya hanya ditarik balik selepas Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun kemudiannya. Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir masuk semula ke dalam UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik sebagai senator pada tahun 1973. Beliau bertanding di Kubang Pasu pada pilihan raya umum 1974, yang mana beliau menang tanpa bertanding. Selepas pilihan raya, Dr Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran dalam kabinet Tun Abdul Razak. Beliau memenangi salah satu daripada tiga kerusi naib presiden UMNO pada tahun 1975. Pada 1976, Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia secara mengejut dan penggantinya Datuk Hussein Onn melantik Dr Mahathir sebagai timbalannya, sambil masih mengekalkan portfolio pendidikan yang disandangnya. Tidak lama selepas itu Tun Dr Mahathir menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian. Pada pertengahan 1981, Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Hussein Onn mengumumkan persaraannya dan menamakan Dr Mahathir sebagai penggantinya. Pada 10 Julai, 1981 Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat, dan lapan hari selepas itu sebagai Menteri Pertahanan. Pada 31 Oktober, 2003, Dr Mahathir bersara dan menamakan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai penggantinya. 

Sumbangan Tun Dr. Mahathir (16 Julai 1981 – 31 Oktober 2003)
Pada tahun-tahun awal pentadbirannya, Dr. Mahathir telah melancarkan Dasar Pandang ke Timur, di mana kerajaan berpaling ke negara-negara timur yang maju seperti Jepun dan Korea Selatan untuk tujuan usaha sama, perdagangan, pendidikan tinggi dan aspek-aspek lain yang difikirkan bersesuaian. Lebih kurang pada masa yang sama, Dr. Mahathir memeperkenalkan kempen ‘Bersih, Cekap, Amanah’ dan kemudian ‘Kepimpinan Melalui Teladan’. Pada 1990, Dr. Mahathir melancarkan Wawasan 2020, pelan sembilan cabaran yang menggariskan hasrat dan halatuju kerajaan dan rakyat Malaysia iaitu untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020. Taraf negara maju yang dibayangkan Dr. Mahathir bukanlah yang meniru cara hidup di negara-negara maju yang ada ketika ini, tetapi yang berlandaskan moral dan nilai-nilai murni mengikut acuan Malaysia sendiri. Pada 1996, Dr. Mahathir memacu Malaysia setapak lagi meninggalkan era ekonomi pertanian mundur, kali ini ke arah era maklumat, dengan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Ekonomi berasaskan pengetahuan yang dirangsangkan oleh pembinaan MSC adalah peringkat ketiga peralihan ekonomi Malaysia yang akan membawa negara ke taraf negara maju menjelang 2020. Antara lainnya, projek MSC merangkumi aplikasi-aplikasi seperti kerajaan elektronik, tele-perubatan dan kad pintar serbaguna. Di satu hujung MSC terletak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA, pembangunan gergasi yang menampilkan bangunan pejabat tertinggi di dunia, Menara Berkembar PETRONAS. Juga terletak di sepanjang koridor ini adalah pusat penyelidikan dan pembangunan berteknologi tinggi dan ‘Putrajaya’ bandar pintar pertama di dunia yang kini menjadi pusat pentadbiran Malaysia. Semua projek berbilion ringgit ini dan juga projek kereta nasional pertama Malaysia serta projek-projek mewah yang lain seperti Menara Kuala Lumpur, Jambatan Pulau Pinang dan banyak lagi projek-projek bertaraf dunia kerap menghadapi kritikan sewaktu ia mula dilaksanakan. Ramai menganggap Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysiayang paling berani dan lantang sehingga kini. Sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa Dr. Mahathir secara berani dan terbuka menyuarakan pendirian negara. Beliau dianggap jurucakap kepada negara-negara Dunia Ketiga mahupun Dunia Islam. Antara lainnya, Dr. Mahathir menjadi pengkritik utama kuasa barat tentang kegagalan menangani pedagang matawang yang menjadi punca krisis ekonomi pada lewat 1990an. Kemudian bila keganasan antarabangsa memuncak pada awal alaf baru, Dr. Mahathir dengan lantang mengecam tindakan pengganas, dan berulang kali menegaskan bahawa satu-satunya cara menangani keganasan ialah dengan mencari puncanya. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad adalah pemimpin serba boleh, yang mungkin hanya satu dalam sejuta. Beliau adalah doktor, arkitek, jurutera, artis pakar niaga dan pemidato. Beliau juga adalah guru, pemikir, perancang dan pelakasana. Beliau adalah ayah dan sahabat. Paling penting beliau adalah negarawan terulung yang dilahirkan di bumi bertuah ini. Pada Mei 2003, satu koleksi 14 buku tentang pemikiran dan wawasan Dr. Mahathir telah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Sebuah Institut pemikiran Dr. Mahathir juga sedang dibangunkan. 

 PEMBAHARUAN PENTADBIRAN KERAJAAN UNTUK PEMBANGUNAN 
Di bawah kepimpinan Dr. Mahathir, pentadbiran negara Malaysia telah melalui pelbagai perubahan dan pembaharuan. Pembaharuan pentadbiran adalah untuk pembangunan negara. Perubahan yang ketara dalam sektor awam memperlihatkan satu peralihan paradigma yang merangkumi bukan sahaja perubahan struktur dan sistem, tetapi juga nilai, sikap dan pemikiran anggota perkhidmatan awam atau kakitangan kerajaan. Peranan baru ini telah meletakkan kepentingan hubungan yang erat antara sektor awam dan sektor swasta dalam semangat Pensyarikatan Malaysia. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) sektor awam terus melaksanakan program pembaharuan semasa serta memperkenalkan inisiatif baru bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan yang diberi kepada orang awam.Usaha juga akan terus dipertingkatkan penyampaian perkhidmatan untuk memenuhi kehendak sektor swasta terutamanya dalam bidang pelaburan, perdagangan dan perniagaan. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Keenam (1991-1996) kerajaan di bawah pimpinan beliau telah mengambil usaha untuk memeperkenalkan perubahan bagi mempertingkatkan budaya kecermelangan dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan. Program pembaharuan pentadbiran yang dilaksanakan oleh kerajaan meliputi bidang-bidang yang luas, iaitu pengurusan kualiti, perlaksanaan Piagam Pelanggan, penghasilan inovasi, pembaikan kepada sistem dan prosuder kerja, pengukuran produktiviti dan prestasi, peluasa penggunaan teknologi maklumat, pengukuhan struktur organisasi, pembaikan dalam pengurusan anggota awam, penerapan nilai positif dan etika kerja, perwujudan sistem inspektor dan perlaksanaan Dasar Syarikat Malaysia. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh, Kerajaan terus memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki pentadbiran dan pengurusan. Langkah-langkah akan diambil bagi memastikan usaha pembaharuan berjalan dengan lancar dan berkesan. Langkah yang diambil akan diteruskan dan inisiatif baru akan diteroka bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor awam disamping mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi pertumbuhan sektor swasta. Maklumat ini akan hanya dapat dicapai melalui penyediaan perkhidmatan yang lebih mengutamakan pelanggan, pembaikan kepada sistem dan prosedur kerja, penekanan kepada prestasi dan hasil, penggunaan IT yang lebih luas, pengukuhan struktur organisasi dan pengurusan anggota sektor awam, pembaikan sistem pengesanan projek, pengukuhan akauntabiliti, disiplin dan etika kerja, ‘follow-up’ dan follow through’ perlaksanaan program serta pengukuhan kerja sektor awam dan swasta. 

KE ARAH PERKHIDMATAN YANG LEBIH MENGUTAMAKAN PELANGGAN 
 Gerakan kualiti terus menjadi asas bagi kerajaan dalam usaha menjadikan sektor awam lebih mengutamakan pelanggan. Perlaksanaan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) akan dipergiatkan lagi dalam kalangan agensi yang berurusan secara langsung dengan orang awam terutamanya agensi yang terlibat dalam kutipan hasil serta galakan perdagangan dan pelaburan Di samping itu kerajaan akan menambah bilangan perkhidmatan dan agensi yang menyertai Rangkaian Perkhidmatan Awam (PSN). Selaras dengan rancangan ini, PSN akan dihubungkan dengan lebih banyak pejabat pos dan diperluaskan lagi ke Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan sistem jaminan kualiti pengurusan dan sistem jaminan kualiti dalam usaha memperbaiki perkhidmatan yang diberikan oleh agensi sektor awam. Bagi mencapai matlamat ini, tindakana akan diambil bagi merancang dan melaksanakan siri ‘ Standard ISO 9000’ di kementerian jabatan dan agensi secara berperingkat. Langkah-langkah akan diambil bagi menyedarkan garis panduan mengenai siri standard ini disamping menjalankan program latihan bagi mempercepatkan perlaksanaannya dalam perkhidmatan awam. 

 PERANAN TEKNOLOGI MAKLUMAT YANG LEBIH LUAS
 Di bawah pentadbiran Dr. Mahathir juga, industri teknologi maklumat (IT) telah diperkenalkan di negara ini. Penggunaan IT dalam sektor awam diperluaskan dengan tumpuan kepada pembangunan insfrastruktur IT bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan produktiviti. Usaha ini akan merealisasikan objektif ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang kurang menggunakan kertas. Program IT kerajaan akan memberi tumpuan kepada penggubalan standard IT, pembangunan pangkalan data wam, perlaksanaan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (GITN), peningkatan keselamatan komputer dan rangkaian komputer, pembangunan anggota IT serat kesedaran terhadap IT. Penggubalan Pelan Standard IT akan menggariskan Standard untuk Pertukaran Data Elektronik (EDI), prosedur perolehan, sistem metodologi pembangunan sistem serta prosedur dan garis panduan untuk pengumpulan dan penyebaran maklumat. Dari segi metodologi pembangunan, perhatian akan diberikan kepada pendekatan ‘object-oriented’ yang bertujuan meningkatkan produktiviti pembangunan perisian melaui pengurangan dalam kos pembangunan kitaran hayat dan meningkatkan perisian mudah alih. PROJEK MEASAT Dalam usaha membangunkan masyarakat Malaysia yang bermaklumat, pembangunan Lebuhraya Maklumat dan Koridor Raya Multimedia (MSC) menerusi insfrastruktur telekomunikasi telah memberi kejayaan yang cemerlang. Pelancaran satelit milik Malaysia, iaitu Malaysia East Asia Satellite (MEASAT) pada Januari 1996 telah meletakkan Negara Malaysia di ruang angkasa globalisasi. Ini membolehkan perkhidmatan telekomunikasi, penyiaran dan IT diperoleh secara langsung dan serentak dari satu tempat ke satu tempat dan keseluruh pelusuk negara serta hampir seluruh Asia Timur. Penggunaan gentian optik, stesen bumi dan satelit, kabel darat dan dasar laut, teknologi pancaran tanpa talian dan selular serta teknologi ‘broadband’ dan digital yang sama-sama membentuk insfrastruktur telekomunikasi abad ke 21 Malaysia akan membolehkan penghantaran secara meluas aplikasi IT seperti video, grafik, suara, multimedia, cetakan desktop, perniagaan secara ‘virtual’, LTC pendidikan jarak jauh, tele-perubatan dan aplikasi IT yang lain. Malaysia memiliki keupayaan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan dan telekomunikasi dan IT-nya dengan perlaksanaan sepenuhnya insfrastruktur ini. Melalui kupasan tentang tajuk ini, ianya telah membuka mata dan minda kita selaku rakyat Malaysia untuk sama memberikan satu kerjasama bagi melicinkan perlaksanaan dan rancangan barisan pemimpin dalam merangka pembangunan yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara sekali gus meletakkan negara Malaysia sebaris negara maju yang lain di dunia. Pelbagai rancangan yang bakal dilaksanakan adalah untuk rakyat dan negara. Bagi sama-sama menjaga negara kita ke arah keamanan dan kesejahteraan yang berterusan, kita sendiri perlu menanamkan semangat cintakan negara dan memberi kerjasama dalam terus menjulang nama Malaysia.

2 comments:

anna aQilah said...

terima kasih atas perkongsian mklumat ni.. sangat membantu..

Mohamad Shidi said...

sama2... manusia saling memerlukan :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...