Search This Blog

Friday, January 20, 2017

Kerja Kursus Pemulihan dan Pengayaan





1.1 PENGENALAN:
1.1.1 Konsep pemulihan
               Program pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Mereka patut dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan dan ditentukan oleh guru bilik darjah atau guru mata pelajaran dengan langkah-langkah yang berbeza bergantung kepada jenis masalah.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1245,1246)
“Pulih” bermaksud kembali seperti biasa (keadaan semula). “Pemulihan” bermaksud perbuatan memulihkan dan pengembalian kepada keadaan semula. Dalam konteks ini konsep pemulihan merujuk kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.  Pembelajaran pemulihan biasanya dikaitkan dengan usaha untuk memperbaiki sesuatu kekurangan atau memperbetul sesuatu.
Blair (1956)
Pemulihan ialah program khas berbentuk tambahan bagi memenuhi  keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran agar ketidakupayaan yang menghalangnya dapat diatasi.  Aktiviti pemulihan tertumpu kepada penguasaan kemahiran.
O. C. Simpson (1975)
Aktiviti pemulihan merupakan tindakan khas atau tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesulitan dari segi pembelajaran dalam kelas khas di sekolah biasa, di pusat-pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dan  dalam darjah untuk pengajaran pembelajaran biasa.
Syarifah Alawiah Alsagoff (1983)
Pemulihan ialah satu tindakan yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang diasingkan daripada sekolah biasa dan dalam darjah untuk pengajaran pembelajaran biasa.

Menurut Ab. Rahman, et. al. (1997), dalam konteks Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), program pemulihan merupakan langkah-langkah khas yang diusahakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis, dan mengira).  Mereka ini kemudiannya diberikan program pemulihan sebaik-baik sahaja masalah mereka dapat dikesan dan dikenal pasti.
1.1.2   Rumusan Keseluruhan Konsep Pemulihan.
                          Pendidikan pemulihan ialah suatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Pelaksanaan program pemulihan ini bermatlamatkan supaya jurang perbezaan pencapaian di antara murid dapat dikecilkan dan mereka dapat belajar bersama-sama dalam suasana pembelajaran yang lebih baik di dalam kelas biasa.
1.1.3 Rasional Pendidikan Pemulihan.
·           Murid-murid merupakan indidvidu-individu yang berbeza dari segi pengalaman, minat, dan kebolehan. Perbezaan-perbezaan tersebut jika tidak diberi perhatian boleh menjadi punca masalahh yang utama kepada kegagalan pencapaian objektif-objektif pembelajaran yang telah ditetapkan.
·           Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang telah dikeluarkan, beberapa penetapan telah dibuat sebagai langkah untuk mengatasi masalah-masalah yang terdapat dalam sistem persekolahan. Antaranya ialah :
·         Kenaikan darjah secara automatik  seperti yang berlaku sekarang dikekalkan dan mereka yang lemah dalam bidang kemahiran tertentu diberi pendidikan pemulihan.
·         Kurikulum yang ada sekarang hendaklah disusun semula supaya dapat diubah suai bukan sahaja untuk membolehkan murid-murid yang lemah mencapai kemahiran asas bahkan membolehkan murid yang cerdas bertambah maju.
·         Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha-usaha untuk membaiki dan meninggikan taraf pendidikan di kawasan-kawasan yang mundur sejajar dengan dasar kerajaan.
·         Usaha untuk merapatkan hubungan antara sekolah dengan masyarakat hendaklah dijalankan dengan sepenuhnya melalui kegiatan-kegiatan PIBG.
·         Rancangan Amalan Makanan dan Pemakanan dan Rancangan Makanan Tambahan diteruskan kerana faedah-faedah yang diperoleh.

1.1.4 Matlamat Pendidikan Pemulihan
Antara matlamat utama program pemulihan ialah :
·         Membantu murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran untuk menguasai kemahiran tertentu.
·         Membantu murid-murid membetulkan sikap yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran.
·         Memupuk serta mengembangkan keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.
1.1.5   Objektif Pendidikan Pemulihan
Program ini bertujuan untuk membolehkan murid-murid :
·         Menguasai kemahiran tertentu dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang dipilih dan menggunakan bahan-bahan yang bersesuaian dengan kemampuan murid.
·         Mendapatkan layanan dan kemudahan yang sesuai dengan keupayaan dan perkembangan mental individu.
·         Mengurangkan beban masalah yang dihadapi oelh murid-murid yang lemah melalui bantuan guru dan pihak yang berkenaan (pihak sekolah dan ibu bapa).
·         Mengembangkan potensi dan minat mereka dalam pelajaran ke tahap yang lebih maju.
·         Memperoleh serta mengukuhkan keyakinan diri dan sifat berdikari apabila berada dalam kumpulan dan masyarakat.
·         Mendapat peluang yang sama seperti rakan-rakan mereka dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti social di dalam dan di luar bilik darjah
·         Meneruskan pelajaran dalam sistem persekolahan biasa atau sekolah khas yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

1.1.6  Kumpulan Sasaran Pendidikan Pemulihan
Pendidikan pemulihan diajalankan untuk menampung keperluan-keperlaun murid di dalam kelas biasa yang menghadapi masalah-masalah berikut, bukan masalah kecacatan akal atau terencat akal :
·         Masalah pembelajaran:
·         Ketidaksesuaian bahan dan teknik pengajaran guru
·         Sering tidak hadir ke sekolah
·         Cuai menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran
·         Leka dan lambat
·         Masalah-masalah yang menghalang pembelajaran :
·         Masalah peribadi
·         Masalah psikologi
·         Kurang kecerdasan iaitu lambat berfikir dan bertindak, cepat lupa, sukar memahami dan lemah pengamatan.

1.1.7  Prinsip Pendidikan Pemulihan
Terdapat beberapa prinsip yang perlu dipatuhi dalam melaksanakan pendidikan pemulihan. Antaranya ialah :
i) Menentukan objektif pendidikan pemulihan
Guru perlu mengetahui objektif yang hendak dicapai semasa pendidikan pemulihan dijalankan bagi membantu murid-murid mengatasi masalah pembelajaran, membimbing mereka mengubah sikap negatif dan tingkah laku yang menghalang pembelajaran dan mewujudkan keyakinan dalam diri. Guru juga harus memastikan aktiviti pengajarannya melibatkan deria rasa, penglihatan, pengdengaran dan pertuturan.
ii) Menyusun strategi pendidikan pemulihan
Terdapat beberapa cara   dalam menyusun strategi pendidikan pemulihan antaranya:
·         Mengenal pasti murid-murid yang memerlukan pemulihan melalui ujian saringan, ujian diagnostik, laporan guru dan sekolah serta maklum balas daripada temu duga yang dibuat dengan ibu bapa.
·         Mengenal pasti masalah  pembelajaran yang dihadapi oleh murid yang antaranya terdiri daripada masalah dalam kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca dan menulis.
·         Mengenal pasti punca-punca yang menjadikan murid-murid bermasalah dalam pembelajaran dari aspek fizikal, intelek, emosi dan pembelajaran.
·         Merancang pelbagai aktiviti untuk menolong murid lemah sama ada secara individu, kumpulan kecil atau melalui rakan sebaya.
·         Membuat penilaian untuk menentukan kemajuan yang bertujuan untuk mengekalkan pelajar dalam kelas biasa atau dihantar ke kelas pemulihan.
·         Menjalinkan hubungan mesra antara guru dengan murid dan murid dengan rakan sebayanya.


iii) Merancang dan menyusun aktiviti pendidikan pemulihan:
Dalam merancang dan menyusun aktiviti pendidikan pemulihan terdapat beberapa kreteria yang perlu diikuti antaranya:
·         Pemilihan dan aktiviti hendaklah berdasarkan kebolehan murid.
·         Aktiviti hendaklah menekankan penggunaan bahan pelbagai bentuk untuk membolehkan murid menggunakan deria yang ada pada mereka.
·         Matlamat hasil kerja daripada aktiviti hendaklah disampaikan dengan segera.
iv) Memilih pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai
Terdapat pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik yang boleh digunakan dalam melaksanakan aktiviti pemulihan. Antaranya :
·         Pendekatan Deduktif
·         Pendekatan Induktif
·         Pendekatan Elektif
·         Kaedah Komunikatif
·         Pendekatan Main Sambil Belajar
·         Teknik Bercerita
·         Teknik Latih Tubi
·         Teknik Bersoal Jawab
1.2  CARA MENGESAN MURID-MURID YANG BERMASALAH PEMBELAJARAN.
Terdapat beberapa cara bagi mengesan murid yang bermasalah pembelajaran antaranya ialah:
Pengesanan Murid Bermasalah
i) Pemerhatian
·         Guru boleh membuat pemerhatian secara tidak langsung dalam bilik darjah masing-masing. Guru boleh memerhatikan wajah murid-muridnya sama ada berwajah ceria, takut, sedih, takut, bingung dan sebagainya. Sekiranya wujud murid yang menunjukkan wajah yang bermasalah, guru perlu mengenal pasti masalah mereka dengan lebih teliti dengan membuat pemerhatian secara berterusan dan berulang kali serta memerhatikan setiap perubahan yang berlaku.
ii) Pentafsiran rekod prestasi
·         Rekod prestasi ialah rekod yang menyimpan maklumat tentang pencapaian akademik murid, khususnya dari segi kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai pada sesuatu peringkat pembelajaran secara berterusan. Tujuan utama penyimpanan rekod-rekod ini adalah untuk membekalkan maklumat dan keterangan yang tepat dan lengkap tentang pencapaian murid-murid dalam kelas.
iii) Rekod profil
·         Rekod profil ialah rekod yang memberi maklumat tentang pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran yang diikuti di sekolah. Pencapaian ini ditunjukkan dengan menggunakan markah dan gred.  Rekod ini mencatatkan prestasi murid-murid pada setiap penghujung semester. Biasanya catatan dibuat pada awal tahun, pertengahan tahun dan akhir tahun atau mengikut semester. Pencapaian daalm rekod ini berdasarkan satu ujian sumatif pada akhir setiap semester. Rekod profil yang disarankan dalam KBSR dan KBSM adalah bentuk senarai kemahiran, minat, bakat dan lain-lain yang tidak begitu formal bentuknya. Segala maklumat tentang murid-murid haruslah didasarkan kepada penilaian yang dibuat dalam bentuk pemerhatian yang dilakukan secara tidak formal. Walau bagaimanapun, ujian kertas dan pensel yang biasanya dibuat secara formal juga dilaksanakan.
iv) Ujian kertas dan pensel
·         Ujian bentuk ini melibatkan penggunaan perkataan secara tidak langsung menguji penguasaan bahasa murid. Ujian kertas dan pensel terdiri daripada ujian objektif dan ujian subjektif. Ini bermakna dalam sesuatu ujian, soalan-soalan itu memerlukan murid membaca, meneliti, mengkaji dan menulis jawapan.
v) Temu bual dengan guru darjah
·         Perbincangan dengan guru darjah dapat member maklumat tentang seseorang murid yang hendak dikenal pasti. Melalui temu bual dengan guru darjah atau guru mata pelajaran, kita boleh mendapatkan maklumat-maklumat seperti rekod kedatangan, ketepatan masa, pencapaian kerja akademik, ciri-ciri tingkah laku yang khusus dan perbezaan-perbezaan individu dalam kalangan murid-murid yang lain. Makluamt-maklumat ini dianalisis dan hasilnya akan dapat membantu guru mengesan masalh pembelajaran murid.
vi) Temu bual dengan ibu bapa
·         Ibu bapa seharusnya bekerjasama dengan guru untuk memberikan maklumat tentang masalah pembelajaran murid, terutamanya murid Tahun Satu. Melalui temu bual dengan ibu bapa, guru dapat mengetahui banyak maklumat  contohnya tentang latar belakang keluarga, aspek kesihatan, pemakanan, kemudahan pembelajaran dan kemudahan asas yang lain di rumah. Dengan adanya maklumat ini, guru dapat mengenal pasti punca-punca masalah pembelajaran murid dan dapat merangka suatu perancangan yang berkesan untuk membantu murid-murid bermasalah.

1.3  PROGRAM PEMULIHAN DI SEKOLAH
Konsep pendidikan pemulihan di sekolah dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
1.    Pendidikan pemulihan kelas biasa
·         Pendidikan pemulihan kelas biasa dirancang dan dilaksanakan oleh guru mata pelajaran, khususnya guru bahasa Pendidikan Islam. Objektifnya adalah untuk mengatasi kelemahan murid-murid menguasai kemahiran yang diajar dalam setiap pembelajaran. Waktu memulihkan murid-murid berkenaan adalah secara berterusan sepanjang pengajaran-pembelajaran dan diteruskan selepas tamat waktu mengajar pada hari biasa
2.    Pemulihan bagi program kajian tindakan
·         Kelas pemulihan bagi program kajian tindakan difokuskan kepada murid-murid yang akan mengambil peperiksaan khususnya Ujian Pencapaian Tahap Satu dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Program ini dilaksanakn berasaskan masalah yang dihadapi oleh murid yang mungkin menjelaskan pencapaian yang baik dalam ujian penilaian.
3.    Kelas pemulihan khas
·         Kelas pemuliahn khas merupakan kelas yang diwujudkan khusus untuk mengatasi masalah murid-murid yang lemah dalam penguasaan kemahiran asas, khususnya 3M. Kelas ini dikendalikan oleh seseorang guru khas yang terlatih. Murid-murid daripada pelbagai perbezaan umur tetapi menghadapi masalah yang sama dikelompokkan dalam satu kelas untuk memudahkan pengajaran-pembelajaran.






 Kenal pasti dan menganalisis:
·         Murid bermasalah melalui pemerhatian dan keputusan ujian;
·         Masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid melalui Ujian Saringan dan
Diagnostik;
·         Punca masalah dari aspek fizikal, intelek, dan emosi yang mengganggu
pembelajaran.

·         Merancang aktiviti pemulihan yang bersesuaian dengan masalah yang dihadapi.
·         Menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran.
·         Melaksanakan aktiviti pemulihan yang telah dirancang.
·         Membuat penilaian untuk menentukan kemajuan yang telah dicapai.
·         Menjalankan tindakan susulan seperti memindahkan semula murid berkenaan ke dalam kumpulan murid yang biasa atau merancang semula aktiviti pemulihan yang baru sekiranya murid berkenaan belum pulih.
Kemahiran Lisan
Kemahiran lisan terdiri daripada dua aspek penting iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Bagi menguasai kemahiran lisan, kanak-kanak perlulah menguasai kedua-dua aspek ini dengan baik terlebih dahulu. Kanak-kanak yang mahir dalam bahasa lisan akan dapat melahirkan perasaan dan pendapat dengan baik, dan akan lebih yakin untuk berinteraksi dengan orang lain dalam apa jua situasi. Lisan adalah pertuturan atau percakapan. Apabila seseorang bertutur, ia bukan hanya melibatkan kemahiran bertutur sahaja tetapi juga melibatkan kemahiran mendengar. Ini bermakna kemahiran lisan merangkumi dua kemahiran penting iaitu mendengar dan bertutur. Bagi menguasai kemahiran lisan dengan baik, seseorang itu perlu menguasai kedua-dua kemahiran ini. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran akan mengalami masalah pertuturan juga. Malah bagi kes masalah pendengaran yang teruk (pekak), kanak-kanak tersebut tidak dapat bertutur langsung atau dikatakan sebagai bisu.
Apabila diteliti perkembangan bahasa kanak-kanak, ianya bermula daripada proses mendengar terlebih dahulu dan diikuti dengan meniru atau mengajuk bunyi-bunyi yang didengar dan seterusnya bercakap. Lambang-lambang tulisan hanya diperkenalkan apabila kanak-kanak sudah biasa dengan bahasa dan boleh bertutur dengan baik ( Kamarudin Hj. Husin, 1988). Kemahiran berbahasa juga merupakan satu kemahiran atau  kecekapan seseorang untuk menerima dan mentafsir maklumat melalu pendengaran, pertuturan, pembacaan dan penulisan. Lazimnya seseorang yang mahir berbahasa ialah orang yang pendengaran dan pertuturannya baik. Kemahiran mendengar pula bolehlah ditakrifkan sebagai satu proses yang melibatkan dua peringkat kemahiran iaitu menerima dan membezakan bunyi dan memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa dan ayat. Pemahaman tentang bunyi bahasa itu bergantung kepada pengetahuan, pengalaman budaya dan sikap pendengar. Untuk memahami bahasa, seseorang itu perlu mempunyai tiga unsur iaitu pengatahuan sedia ada pada pendengar, pengetahuan tentang situasi berlaku pertuturan yang didengar dan pengetahuan tentang sistem bahasa.
            Apabila ketiga-tiga unsur ini ada, maka seseorang itu akan memahami bunyi bahasa yang didengar dengan lebih senang. Proses mendengar adalah satu proses yang aktif. Si pendengar mesti mengenal pasti dan mengetahui makna bunyi bahasa. Selain itu, pendengar juga memilih dan menyimpan apa yang difahami dalam ingatannya. Ini menunjukkan            
mendengar adalah suatu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas mendengar.
Kemahiran bertutur boleh ditakrif kan sebagai satu proses komunikasi yang kompleks yang melibatkan proses mental yang merangsang alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna. bagi menguatkan maksud pertuturan, seseorang perlu menggunakan unsur linguistik seperti intonasi, nada, tekanan, sebutan dan jeda yang sesuai.
            Bertutur merupakan satu cara berkomunikasi yang paling tua, paling mudah dan murah serta cepat untuk dipelajari. Lazimnya kedua-dua kemahiran mendengar dan bertutur ini saling memerlukan. Jika salah satunya tidak dapat dikuasai seperti kecacatan alat pendengaran, maka seseorang itu tidak akan dapat bertutur.

Kemahiran Mendengar
Mendengar adalah kemahiran awal yang dikuasai oleh kanak-kanak dalam perkembangan pemerolehan bahasanya. Lundsteen (1979) telah mendefinisikan mendengar sebagai satu proses minda yang memberi makna kepada bahasa pertuturan. Berdasarkan definisi mendengar ini, Jalongo (1992) menyatakan bahwa kemahiran lisan melibatkan tiga perkara penting, iaitu;
i. Pendengaran (Hearing) – iaitu proses fisiologikal yang merangkumi ketajaman pendengaran atau keupayaan mendengar, dan persepsi pendengaran iaitu keupayaan untuk membezakan bunyi-bunyi, mengadun bunyi-bunyi, dan menyimpan urutan bunyi dalam ingatan,
ii. Mendengar (Listening) - merupakan bentuk tingkah laku persepsi iaitu memberi tumpuan, menjadi peka, dan memilih petunjuk-petunjuk isyarat (cues) daripada persekitaran,
iii. ”Auding” - iaitu tingkah laku pemahaman yang bermula daripada pendengaran dan mendengar. Auding termasuklah memperoleh makna daripada apa yang diudengar, menghubungkan bunyi sesuatu yang sudah diketahui, menyusun, membayangkan, dan menghargai apa yang didengar.


Kepentingan Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar sangat penting dalam kehiduipan kerana kemahiran mendengar adalah asas kepada proses komunikasi. Interaksi dua hala akan terganggu berlaku apabila salah seorang gagal mendengar dengan baik. Kemahiran mendengar adalah kebolehan bahasa yang mula-mula sekali bagi kanak-kanak. Sebaik sahaja organ pendengaran kanak-kanak sudah terbentuk di dalam kandungan ibu mereka sudah mula mendengar. Bayi yang baru lahir akan bertindak balas terhadap bunyi-bunyi yang berbeza di sekitarnya, dan mereka akan ditenteramkan oleh bunyi-bunyi yang biasa didengarnya ketika dalam kandungan ibunya. Lebih dari itu, mendengar adalah asas kepada kemahiran bahasa yang lain iaitu bertutur, membaca, dan menulis.
Keduanya, mendengar adalah kemahiran bahasa yang paling kerap digunakan oleh manusia. Lundsteen (1979) membuat persamaan berikut untuk menegaskan kepentingan mendengar, iaitu dalam sehari kita mendengar sama banyak dengan sebuah buku, kita bertutur bersamaan sebuah buku seminggu, kita membaca bersamaan sebuah buku sebulan kita menulis bersamaan sebuah buku setahun. Di sebalik kepentingannya, kemahiran mendengar adalah kemahiran yang diabaikan. Proses pengajaran dan pembelajaran di kelas sangat kurang menitikberatkan kemahiran ini dan guru lebih tertumpu kepada mengajar kemahiran membaca dan menulis.

Keperluan Mendengar
Abd.Aziz Talib (2000) menyatakan bahawa keperluan mendengar berbeza mengikut situasi sama ada berbentuk tidak formal atau formal. Kemahiran mendengar dalam situasi tidak formal berlaku di rumah, di taman permainan, ketika bermain dengan rakan dan sebagainya. Walaupun secara tidak formal, keperluan mendengar sangat penting kerana kanak-kanak perlu mendengar dan memahami percakapan ibu bapa dan ahli keluarganya yang lain. Begitu juga apabila dia perlu mendengar untuk berhibur seperti mendengar radio, atau menonton televisyen. Keperluan mendengar di sekolah bercorak formal, iaitu bahan-bahan yang didengar adalah bercorak akademik. Selain itu, aktiviti lain seperti syarahan, pidato, kuiz, dan sebagainya menjadikan kemahiran mendengar lebih penting lagi. Keperluan mendengar sama ada bersifat formal atau tidak formal dapat dilihat dari segi tujuankita mendengar.




 Abd. Aziz Talib (2000) memberikan tiga tujuan kita mendengar, iaitu:
i. mendengar dalam interaksi sosial seperti berbual dan bermesyuarat,
ii. mendengar untuk mendapatkan hiburan seperti mendengar radio,menonton televisyen, atau filem, dan
iii. mendengar untuk mendapatkan maklumat atau pengetahuan seperti di dalam kelas, mendengar ceramah dan sebagainya.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kemahiran Mendengar
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kemahiran mendengar. Antaranya ialah faktor fizikal. Kanak-kanak normal mempunyai deria pendengaran yang semula jadi sejak ia dilahirkan. Peringkat kemahiran ini berbeza antara seseorang. Ada yang mempunyai pendengaran yang tajam dan ada yang sebaliknya walaupun mereka tidak tergolong dalam cacat pendengaran.
            Faktor yang kedua ialah faktor jantina. Terdapat perbezaan kemahiran antara mendengar antara kanak-kanak lelaki dan perempuan, misalnya kanak-kanak lelaki yang berumur antara 7-9 tahun lebih lemah kefahaman mendengar berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang sebaya dengannya.
            Faktor yang ketiga ialah status sosio ekonomi. Latar belakang keluarga, termasuk kemudahan di rumah dan interaksi antara ahli-ahli keluarga mempengaruhi kebolehan mendengar kanak-kanak. Latar belakang keluarga juga boleh mempengaruhi emosi kanak-kanak. Kanak-kanak yang terganggu emosinya tidak akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya
terhadap apa yang didengar.
            Fakor yang keempat ialah faktor bunyi. Semasa mendengar biasanya seseorang itu diganggu oleh pelbagai jenis bunyi seperti bunyi bising yang boleh mempengaruhi kebolehan mendengarnya.
Faktor yang kelima dan terakhir ialah faktor mental. Kemahiran mendengar berkait rapat dengan daya pemikiran seseorang kerana sesuatu yang didengar melalui deria telinga akan melalui proses mental untuk mendapat tindak balas. Tahap pemikiran kanak-kanak akan mempengaruhi kecekapan mereka mendengar.

Halangan Dalam Menguasai Kemahiran Mendengar
Terdapat beberapa halangan dalam menguasai kemahiran mendengar. Halangan-halangan ini mungkin disebabkan oleh beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Antara
halangan dalam menguasai kemahiran mendengar ialah kekeliruan dalam membezakan bunyi.
Murid-murid sepatutnya mempunyai kemahiran dalam menentukan persamaan dan perbezaan bunyi yang didengar dan seterusnya dapat memberi makna terhadap apa yang didengar. Kekeliruan dalam membezakan bunyi akan menyebabkan pelajar tidak dapat memahami makna perkataan yang sebenar tentang apa yang terkandung dalam ayat.
Halangan yang kedua ialah kelemahan dalam memahami apa yang didengar. Jika
seorang murid tidak memahami perkara yang didengarnya, ini akan menyukarkannya untuk membuat tindakan terhadap perkara tersebut. Pelajar yang lemah, terutamanya yang tidak memahami penggunaan penanda wacana yang menjadi wahana penting dalam membentuk
kesinambungan ayat akan menghadapi masalah untuk mengaitkan apa yang didengar dengan makna keseluruhan ayat.
Halangan yang ketiga ialah tidak cekap dalam memproses maklumat. Pendengar yang aktif mempunyai reaksi terhadap apa yang mereka dengar. Maklumat yang didengar akan diproses dan disimpan untuk digunakan kembali. Contohnya seperti semasa murid-murid mendengar pesanan guru supaya pesanan tersebut disampaikan kembali kepada beberapa orang kawan mereka yang tidak datang ke sekolah.
Halangan yang keempat ialah pertuturan yang terlalu cepat. Pertuturan yang terlalu cepat ini akan menimbulkan masalah kepada pelajar untuk mentafsirkan makna dan maklumat yang hendak disampaikan. Komplikasi ini menyebabkan murid-murid sukar untuk memahami
sepenuhnya makna berdasarkan ujaran yang didengar.
Halangan yang seterusnya ialah gaya pertuturan. Gaya pertuturan juga boleh mempengaruhi kemahiran mendengar, sebutan, tekanan dan intonasi. Penggunaan ciri-ciri suprasegmental yang kurang jelas semasa pembelajaran juga boleh mempengaruhi gaya pertuturan seseorang. Salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan menggunakan Bahasa Melayu baku ketika bertutur. Selain itu para penyampai maklumat terutamanya guru
wajar merancang langkah-langkah yang sesuai bagi mengatasi kemungkinan masalah kemahiran mendengar. Antara perancangan yang harus dibuat ialah pemilihan bahan.

Cara Meningkatkan Kemahiran Mendengar.
Terdapat beberapa cara untuk meningkatkan kemahiran mendengar ini. Antaranya adalah :
1) Memandang kepada pengucap
2) Berprasangka baik
3) Niat yang betul
4) Tumpuan yang tinggi
5) Perhatikan apa yang ditulis
6) Fokus apa yang ditunjuk
7) Latih diri banyak mendengar dari bertutur.

Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran mendengar dalam kalangan pelajar:
a. Mendengar rakaman kaset yang mengandungi pelbagai jenis pertuturan seperti perbualan, ucapan, cerita, drama, dan juga pelafazan puisi.
b. Mendengar lagu Melayu yang tema dan bahasanya sesuai dengan perkembangan mental dan emosi pelajar.
c. Pertandingan kuiz di mana pelajar dilatih untuk mendengar soalan yang dibacakan oleh guru serta memberi jawapan yang betul.
d. Menjalankan permainan bahasa yang dapat meningkatkan kemahiran mendengar dalam kalangan pelajar.

Pengalaman mendengar boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu mendengar bunyi percakapan (bahasa) dan bukan percakapan. Berikut ialah jenis gerak kerja yang boleh dijalankan dalam pelajaran Pendidikan Islam :

i.) Mendengar bunyi alamiah.
-       Mengecam bunyi biasa seperti bunyi kenderaan, binatang dan lain-lain secara berasingan atau dalam satu turutan bunyi, secara jelas atau digangguioleh bunyi latar belakang.
-       Mendengar dan mengingat semula satu turutan bunyi yang biasa dan jarang didengar.
-       Mencari bunyi yang sengaja dihilangkan dalam sesuatu konteks pendengaran.
-       Mencari bunyi yang tidak sesuai dalam sesuatu konteks tertentu.
-       Memikirkan satu turutan peristiwa berdasarkan satu turutan bunyi yang diberi.
-       Memanjangkan arah dan jarak bunyi secara berasingan dan juga bersama-sama dengan bunyi lain.

ii.) Kefahaman mendengar (percakapan)
-       Mendengar, mengingati dan menyebut semula kenyataan.
-       Mendengar. Mengingati dan melakukan arahan dengan teliti.
-       Mendengar dan encuba mencari kelainan dan persamaan bunyi.
-       Mendengar dan mencari isi atau butir utama dalam sesuatu cerita, laporan, perbahasa, ceramah dan perbualan.
-       Mendengar dan mencari suatu butiran terperinci yang dinyatakan terlebih dahulu ataupun tidak.                                                                     
-       Mendengar dan membuat jangkaan daripada sesuatu cerita, kenyataan, pendapat dan sebagainya.
-       Mendengar untuk mencari bahan berkaitan ataupun tidak.
-       Mendengar dan memahami tafsiran tentang pendapat seseorang.
-       Mendengar dan menilai sesuatu kenyataan.
-       Mendengar dan membincangkan cerita atau laporan melalui pengingatan.
-       Mendengar sesuatu perbualan, kemudian menjangka keadaan, perasaan dan ragam penuturnya.
-       Mendengar perbualan dan menjangkakan perhubungan antara penutur.
-       Mendengar dan mencari perkara yang bercanggahan dalam sesuatu perbalahan pendapat.

            Kesimpulannya, seseorang kanak-kanak yang telah menguasai kemahiran mendengar seharusnya dapat mendengar denga baik apa saja yang dituturkan oleh orang lain kepadanya. Sehubungan dengan itu, untuk memungkinkan seseorang murid itu fasih berkomunikasi dalam bahasa yang dipelajarinya,kemahiran mendengar ini tidak sahaja perlu diajar, bahkan perlu dikuasai sebaik-baiknya diperingkat awal pengajaran bahasa sebelum kemahiran lain diajar kepada mereka. Dalam usaha merealisasikan hasrat ini, aspek-aspek pendengaran itu boleh dikonsepsikan dengan pelbagai cara iaitu gabungan bunyi bahasa yang didengar, difahami dan diingati, proses yang berlaku dipengaruhi aspek fizikal, psikologi dan neurologi, berlaku melalui latihan-latihan khas secara berperingkat-peringkat dan berpusatkan idea utama, hujah, bukti dan estetika.

Kemahiran Bertutur
Bertutur adalah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) ,ia merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa manusia ( Kamarudin Hj. Husin, 1978). Kemahiran bertutur dikuasai oleh kanak-kanak hasil daripada meniru atau mengajuk pertuturan orang dewasa di sekelilingnya. Rangsangan dan ganjaran yang diterimanya akan menggalakkannya mengulang-ulang perkataan yang disebutnya sehingalah ia dapat menguasai pertuturan yang lebih kompleks. Apabila kemahiran bertutur sudah dikuasai, kanak-kanak akan mula berinteraksi dengan orang lain di sekelilingya. Sebab itulah orang dewasa perlu menunjukkan model pertuturan yang baik kepada kanak-kanak bagi membolehkan mereka bertutur dengan berkesan.
Dalam ilmu linguistik, bahasa diungkapkan dengan sempurna melalui pertuturan. Hal ini demikian dalam bahasa tulisan, aspek sebutan seperti intonasi, rentak , tekanan, jeda dan persediaan tidak dapat digambarkan dengan jelas. Namun demikian, ini tidak bermakna guru bahasa mengajarkan penguasaan audio-lingual sahaja. Pernyataan tadi memberi  implikasi bahawa menghurai bahan bertulis dengan tidak mengetahui pola-pola bahasa seperti yang terdapat dalam pertuturan itu, sebenarnya tidak lengkap dan tidak sempurna sifatnya.

Tujuan Bertutur.
Bertutur atau bercakap merupakan suatu kemahiran bahasa. Dalam komunikasi lisan terdapat dua pihak, iaitu penutur sebagai penghantar komunikasi lisan dan pendengar sebagai penerima komunikasi lisan.Terdapat beberapa tujuan bertutur iaitu :

i. Bercakap untuk tujuan memaklumkan -
Bercakap bertujuan memaklumkan orang lain tentang sesuatu perkara yang mungkin berbentuk nasihat, tunjuki ajar dan berita. Bagi profesion tertentu, terdapat orang yang tugasnya memeberitahu atau memaklumkan kepada orang lain tentang sesuatu, misalnya, guru atau pengajar dan jurujual

ii. Bercakap untuk keseronokkan
·           Di mana-mana sahaja kita pergi dan apa pun yang kita buat, kita suka bercakap atau berbual dengan orang lain. Biasanya, bercakap atau bersembang dengan orang lain memang menyeronokkan kita, terutama apabila kita berhimpun atau berkumpul dalam sesuatu majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan majlis kenduri.
·           Dalam keadaan seperti di atas, banyak yang berlaku adalah perbualan sosial, kadangkala kita diminta atau dijemput untuk memberi sedikit ucapan secara spontan yang berkaitan dengan sesuatu majlis.

iii. Bercakap untuk tujuan mempengaruhi.
Bercakap untuk memengaruhi orang lain merupakan perkara biasa dalam kehidupan manusia dan merupakan asam garam dalam perhubungan harian sama ada dari segi sosial, politik, ekonomi dan agama. Sebagai contoh, ahli politik yang berkempen semasa pilihan raya bertujuan untuk mempengaruhi rakyat, begitu juga pendakwah agama, peniaga dan sebagainya. Malahan, kadangkala kita bercakap kerana kita berasa amat perlu mempengaruhi orang lain sama ada untuk kebaikan orang itu atau diri kita sendiri, atau untuk kebaikkan kedua- duanya.

iv. Bercakap untuk tujuan menyelesaikan masalah
Tiada manusia yang boleh lari daripada masalah. Oleh yang demikian, apabila timbul masalah, perkara tersebut perlu diatasi atau diselesaikan. Masalah itu boleh jadi pada pada peringkat individu, keluarga, sekolah, institusi, pejabat, negeri atau negara.Walau pada peringkat apa pun masalah tersebut, kita perlu bercakap untuk menyelesaikan sebarang masalah, kesulitan dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita mengadakan mesyuarat, perbincangan , perundingan, simposium, forum, debat dan perbicaraan, misalnya perbicaraan di mahkamah, iaitu perbicaraan yang berbentuk perdebatan antara peguam bela dengan peguam cara yang dihakimi oleh para juri dan tuan hakim. Tetapi semua pihak perlu bercakap (termasuk orang yang dikatakan bersalah dan saksi-saksi). Matlamatnya adalah untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul melalui perbicaraan tersebut. Pada asasnya cara untuk menyelesaikan masalah itu adalah dengan bercakap melalui perbicaraan mahkamah yang melibatkan peguam.

Aspek-aspek Pertuturan
 (a) Sebutan: Dalam aspek sebutan murid-murid diajar mengenal dan membunyikan setiap huruf, suku kata, perkataan, frasa kata dan ayat. Dalam hal ini, murid-murid diajar menyebut dan membunyikan suku kata dan perkataan dengan jelas dan tepat mengikut kaedah bunyi, sebutan dan maknanya. Aspek ini penting, terutamanya melibatkan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi kaedah sebutan dan makna yang berlainan seperti semak, boleh dibunyikan sebagai /semak/ dan /sǝmak/ dan seumpamanya;

(b) Tekanan: Tekanan merujuk kepada cara dan bagaimana penutur menyebut dan memberi tekanan kepada sama ada suku kata, perkataan atau rangkai kata tertentu bagi tujuan menegaskan sama ada keras atau lembutnya sesuatu pengucapan;

(c) Mora (panjang-pendek): Mora atau panjang-pendek merupakan kadar (dalam bahasa Arab disebut ‘harakat’), tidak begitu membezakan makna dalam bahasa Melayu;

(d) Jeda (persendian): Unsur ini merujuk kepada aspek persendian – memisahkan elemen-elemen linguistik dalam perkataan, rangkai kata atau ayat. Dalam ayat, jeda digunakan sebagai hentian sementara yang boleh membezakan makna jika unsur ini digunakan. Misalnya ungkapan, ‘jangan tembak,’ jika tidak menggunakan jeda bermaksud larangan melepaskan tembakkan, sebaliknya jika jeda digunakan, ‘jangan/tembak,’ bermaksud menangguhkan seketika dan kemudiannya melepaskan tembakkan!

(e) Intonasi: Intonasi merujuk kepada kedaan sama ada dilafazkan secara menurun atau menaik sesuatu. Intonasi dalam ayat sama ada menaik, menurun atau mendatar berbeza-beza mengikut jenis ayat. Misalnya, ayat tanya biasanya mempunyai intonasi menaik, manakala ayat penyata mempunyai intonasi menurun di hujung ayat.

(f) Nada: Nada merujuk kepada keadaan bunyi sama ada menaik atau menurun ketika sesuatu perkataan itu disebut. Dalam muzik misalnya terdapat lapan nada: Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti dan Do – setiap nada mewakili satu suku kata. Pun demikian dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat fonemik berbanding dengan bahasa Cina, kewujudannya lebih jelas.

(g) Tatabahasa: Aspek tatabahasa merujuk kepada aturan, formula, kaedah dan tatacara menentukan hukum dalam berbahasa – meliputi bidang fonologi, sintaksis dan semantik. Aspek tatabahasa dalam pertuturan kerap kali tidak diberatkan berbanding dalam aktiviti penulisan. Walau bagaimanapun untuk memperoleh kebiasaan yang baik dan kesan yang mendalam dalam pengucapan, aspek tatabahasa perlu diguna pakai sebaik-baiknya;

(h) Kelancaran: Aspek kelancaran menegaskan perihal dan keupayaan murid bertutur dengan baik, teratur dan kemas tanpa gangguan/tersekat. Ini banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh tahap penguasaan dan kecekapan berbahasa dalam kalangan murid-murid.
(i) Kefasihan: Aspek kefasihan menentukan bukan sahaja murid boleh bertutur dengan baik, lancar dan berkesan, sebaliknya boleh membunyikan kata atau menyebut perkataan dalam ayat dengan jelas, betul dan betul;

(j) Laras bahasa: Aspek laras bahasa dalam konteks ini menegaskan kemahiran murid-murid menggunakan bahasa dalam konteks yang situasi, keadaan dan disiplin ilmu berlainan. Ini penting bagi tujuan mempastikan murid-murid boleh berkomunikasi secara berkesan.

Terdapat pelbagai jenis aktiviti yang diklasifikasikan sebagai aktiviti bertutur iaitu seperti berikut
1.Berbual
2.Berceramah
3.Bercerita
4.Berpidato
5.Berpuisi
6. Berbincang

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pertuturan
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pertuturan seseorang individu. Antaranya adalah seperti berikut :

·         Umur -  Umur seseorang dapat membezakan pertuturan. Kanak-kanak bertutur secara pelat dan tidak lancar manakala orang dewasa pula dapat bertutur dengan lancar dan butir-butir pertuturan dapat difahami dengan jelas.

·         Alam sekeliling - Alam sekeliling atau sesebuah kawasan dapat mempengaruhi pertuturan seseorang individu ini kerana setiap kawasan yang berbeza mempunyai dialek kawasan masing-masing. Sebagai contoh, pelajar yang tinggal di Kelantan akan bertutur dalam dialek Kelantan kerana sejak kecil mereka telah diajar dan diasuh dengan dialek kawasan tersebut. Biasanya faktor taraf sosioekonomi dan perhubungan keluarga boleh mempengaruhi perkembangan bahasa kanak-kanak.

·         Fizikal - Pertuturan biasanya terhasil daripada organ-organ vokal manusia. Jika secara fizikalnya didapati organ-organ ini rosak atau tidak dapat berfungsi dengan baik, maka sudah pasti kanak-kanak itu tidak dapat bertutur dengan baik. Kecacatan fizikal dapat mempengaruhi pertuturan sesorang. Hal ini kerana, jika seseorang individu itu mengalami kecacatan di bahagian mulut atau hidung, mereka tidak dapat bertutur dengan baik dan kadangkala perkataan yang dituturkan sukar difahami oleh orang lain.

·         Jantina - Jantina yang berbeza dapat mempengaruhi pertuturan. Lelaki kebiasaannya bertutur dengan suara yang kasar atau parau manakala perempuan pula akan bertutur dengan sopan dan lemah lembut. Melalui kajian yang dijalankan, didapati kanak-kanak perempuan terlebih dahulu dapat bercakap berbanding kanak-kanak lelaki. Hal ini disebabkan oleh perkembangan jasmani kanak-kanak perempuan yang berkaitan dengan urat saraf pertuturan mereka yang berlaku lebih cepat berbanding kanak-kanak lelaki.

·         Kesihatan - Kesihatan amat penting untuk mendapatkan pertuturan yang baik dan lancar. Jika seseorang individu itu menghadapi masalah kesihatan, pertuturan mereka tidak jelas dan tidak dapat menyampaikan maksud yang ingin dinyatakan . sebagai contoh, pesakit strok atau angin ahmar, mereka tidak dapat bertutur dengar lancar dan baik kerana kesihatan mereka amat lemah dan sukar untuk bercakap. Hal ini akan menyebabkabkan halangan dalam komunikasi. Selain itu, jika seorang kanak-kanak mendapat sakit yang berlanjutan ketika masih kecil, penguasaan bahasa mereka akan terganggu. Biasanya kanak-kanak yang lemah dan sakit tidak mempunyai kekuatan untuk berfikir dan bercakap.

·         Kecerdasan - Kecerdasan pula melibatkan proses minda. Setiap orang mempunyai kecerdasan otak masing-masing. Kecerdasan seseorang dapat dibezakan melalui pertuturan mereka. Sesorang yang cerdas dapat mengeluarkan idea atau pendapat yang bernas serta dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan cepat dan betul. Sekiranya seseorang itu bertutur tanpa apa -apa maklumat yang ingin disampaikan, mereka digolongkan dalam kalangan orang yang kurang cerdas.



Cara Meningkatkan Kemahiran Bertutur

Terdapat berbagai teknik dan cara serta aktiviti yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kemahiran bertutur murid dan di samping itu menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Berdasarkan hakikat ini, maka, eloklah guru memilih aktiviti pengajaran untuk tujuan tersebut seperti cadangan yang berikut:

a.    Aktiviti bercakap untuk keseronokkan
1.    Murid menyampaikan cerita.
2.    Murid menyampaikan lawak atau jenaka.
3.    Murid menyampaikan sajak atau sebagainya.
4.    Murid menyanyi.
5.    Dua orang murid berbual (melalui telefon). Guru boleh menyuruh dua orang murid berlakon atau berbual seolah-olah mereka sudah lama berkenalan atau baru sahaja berjumpa dan ingin berkenalan.
6.    Murid berucap dalam majlis hari jadi atau majlis perpisahan seseorang kawan atau guru.
7.    Murid mengucapkan selamat datang kepada rakan baru dalam kelas atau guru baru yang datang mengajar di kelas mereka.
8.    Murid menyampaikan pidato orang kenamaan. Misalnya, pidato yang pernah dibacakan oleh Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31 Ogos 1957.

b.    Aktiviti bercakap untuk memaklumkan.
1.    Murid membaca berita dalam radio atau televisyen.
2.    Murid membuat demonstrasi di hadapan kawan- kawannya di dalam kelas tentang cara membuat sesuatu, misalnya, cara menggunakan kamera , atau cara memasak sesuatu masakan.
3.    Murid membuat pengumuman tentang aktiviti yang berlaku di sekolah , misalnya, tentang rancangan atau jadual kokurikulum.
4.    Murid memberi taklimat tentang rancangan atau program yang berkaitan dengan sesuatu projek sekolah, lawatan, strategi permainan dalam perlawanan bola sepak, ragbi, bola jaring atau bola keranjang.
5.    Murid membuat laporan secara lisan tentang lawatan, aktiviti kelab atau persatuan di sekolah.
6.    Murid membentangkan secara lisan hasil bacaan atau temu duga yang dijalankan berkaitan dengan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Aktiviti ini adalah kerja kumpulan. Untuk menjalankannya, murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diberikan tugas oleh guru untuk mencari bahan yang berkaitan dengan subtajuk dalam sesuatu karangan atau esei.

c.    Aktiviti bercakap untuk mempengaruhi.
1.    Murid bercakap dalam aktiviti perbahasan (debat) sama ada sebagai pencadang atau pembangkang.
2.    Murid berkempen untuk menjadi wakil kelas, ketua darjah atau ketua murid.
3.    Murid berucap atau berkempen bagi mendapatkan ahli baru untuk sesuatu persatuan yang diwakilinya di sekolah.
4.    Simulasi murid berkempen untuk mempengaruhi orang supaya membeli atau mencuba sesuatu barang baru dalam pasaran, misalnya, barang elektrik, sabun pencuci, berus gigi, pencuci pinggan mangkuk atau penyedut habuk.

d.    Aktiviti bercakap untuk tujuan menyelesaikan masalah.
1.    Murid berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Masalah yang dipilih oleh guru eloklah yang berkaitan dengan kehidupan murid di sekolah atau di rumah. Misalnya, tentang kes kecurian buku atau wang di bilik darjah, kebersihan kantin, kes murid merosakkan harta benda sekolah atau mencalarkan kereta guru.

2.    Murid bermesyuarat atau berbincang tentang bagaimana hendak mengumpulkan wang melalui aktiviti di sekolah untuk mendapatkan wang bagi membina dewan sekolah, membeli bas sekolah, membesarkan perpustakaan dan sebagainya.Dalam hal ini guru bahasa perlu mengatur, mengajar, mengawas, membimbing, menegur dan membetulkan murid dalam menjalankan atau mengambil bahagian dalam mesyuarat, perbincangan atau forum adalah terhad.

3.    Simulasi murid menjadi hakim, peguam bela atau pendakwa dalam sesuatu perbicaraan. Kes yang dibicarakan biarlah yang boleh menarik minat dan menyeronokkan murid. Amat baik sekiranya guru mengadakan simulasi perbicaraan yang menyerupai mahkamah dengan menjadikan kelas itu sebagai mahkamah. Selain berlakon sebagai hakim, peguam bela, pendakwa dan orang yang dituduh atau didakwa, murid- murid lain boleh disuruh berlakon sebagai saksi, pegawai polis dan juri.

4.    Simulasi runding cara antara dua atau tiga murid, dengan seorang daripada mereka menjadi guru pembimbing, dan yang lain berlakon sebagai murid yang mempunyai masalah pembelajaran. Mereka bercakap dan berunding tentang masalah tersebut dan mencari jalan untuk mengatasinya.

5.    Simulasi murid yang bergaduh dan murid ketiga berlakon sebagai orang ketiga yang cuba mendamaikan atau menyelesaikan perselisihan faham tersebut dengan cara berunding supaya kedu- duanya berbaik semula.

6.    Simulasi parlimen bersidang. Murid-murid dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu parti pembangkang dan parti pemerintah. Guru atau ketua darjah boleh menjadi Tuan Pengerusi (Tuan Yang Dipertua). Isu yang dibincangkan mungkin masalah pendatang haram atau masalah penyalahgunaan dadah.

Pengelolaan Bilik Darjah
·         Murid ditempatkan pada kedudukan ia boleh mendengar/melihat dengan baik bagi mengelakkan dia tidak menyedari bahawa anda sedang bercakap/berkomunikasi dengannya
·         Murid duduk di mana ia boleh melihat wajah,bibir dan isyarat tangan guru dengan jelas
·         Pastikan mereka boleh melihat wajah rakan di antara satu sama lain
·         Pastikan mereka berada dalam keadaan penuh perhatian sebelum memberi arahan atau pengajaran
·         Guru hendaklah menghadap kelas semasa bercakap/berisyarat
·         Gunakan suara yang biasa tetapi terang/isyarat yang tepat
·         Gunakan ayat-ayat dan rangkai kata
·         Gunakan kod isyarat yang biasa digunakan dan difahami
·         Sentiasa menghadap cahaya semasa mengajar
·         Jangan halang mulut/tangan dengan sebarang objek semasa bercakap/berkomunikasi atau membaca
·         Berdiri pada satu tempat sahaja semasa bercakap/berisyarat
·         Galakan murid-murid bertanya
·         Jika murid kurang faham tukarkan struktur ayat kepada yang lebih mudah difahami
·         Gunakan alat pandang dengar atau BBM semaksimum mungkin semasa mengajar
·         Perkataan baru yang digunakan dicatatkan pada satu sudut di papan hitam
·         Tuliskan maknanya
·         Tuliskan contoh ayat bagi perkataan berkenaan
·         Ringkasan isi pengajaran-buat edaran sebelum pengajaran
·         Isi penting dicatatkan pada satu sudut di papan hitam untuk rujukan
·         Galakan tumpuan sepenuhnya yang berterusan semasa mengajar

PROGRAM PENGAYAAN

Konsep Pengayaan
               Pengayaan ialah aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan sama ada dalam atau luar waktu sekolah. Pengayaan mengandugi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari. Melalui aktiviti-aktiviti ini murid mengembangkan potensi mereka sesuai dengan bakat, minat dan kreativiti. Di samping itu dapat memupuk sifat ingin tahu, sikap berdikari, kepimpinan serta melibatkan diri dalam membuat sesuatu keputusan untuk diri sendiri, kumpulan dan masyarakat.
·         Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 693)
                   “Pengayaan” sebagai “perihal (usaha, proses, dsb) mengayakan, misalnya mengayakan atau meluaskan kosa kata”. Pengayaan merupakan aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pembelajaran yang dilakukan sama ada semasa sesi persekolahan atau di luar waktu persekolahan.
·         Mok Soon Sang (1990: 55)
                    Aktiviti pengayaan disediakan untuk semua murid di dalam kelas, sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, sama ada dalam kumpulan cerdas, sederhana, atau lambat. Menurutnya lagi, melalui aktiviti pengayaan, murid-murid akan dapat memperluas pengalaman dan pengetahuan sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam sesuatu bidang pelajaran tertentu. Justeru, tujuan program pengayaan adalah untuk memperluas pengetahuan dan pengalaman di samping memperkukuh kemahiran yang sedang dipelajari. Penglibatan murid-muird dalam aktiviti ini membolehkan mereka mengembangkan lagi sifat ingin tahu, minat, kreativiti, sikap berdikari dan bakat kepimpinan serta melibatkan diri dalam membuat sesuatu keputusan untuk diri sendiri, kumpulan, dan masyarakat.

Rasional Pengayaan
·         Guru akan mengelaskan murid mereka dengan kumpulan-kumpulan sama ada secara diketahui umum ataupun hanya diketahui oleh guru sendiri sahaja.
·         Dibahagikan  kepada kumpulan cerdas, kumpulan sederhana dan kumpulan lambat.
·         Kumpulan cerdas dan kumpulan sederhana akan bosan terhadap pelajaran kerana aktiviti pembelajaran tidak sejajar dengan minat dan perkembangan mental mereka
·         Berpeluang menikmati pelbagi pengalaman, seterusnya menimbulkan minat mereka dalam proses pembelajaran.

Objektif Pengayaan
·         Menggunakan kemahiran-kemahiran yang telah dikuasai dalam pelajaran biasa untuk memperluaskan pengalaman dan pengetahuan mereka dalam pelajaran-pelajaran tertentu.
·         Menjalani aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menarik dan mencabar untuk mempertingkatkan pencapaian mereka.
·         Menggunakan masa lapang untuk memperkembangkan minat dan bakat mereka.
·         Memupuk tabiat membaca malalui suatu program membaca dalam bentuk pengayaan dengan tujuan memperolehi ilmu pengetahuan.
·         Menyemai sifat berdikari dan minat belajar dalam aktiviti pembelajaran dan seterusnya membolehkan merekan terus mencari ilmu pengetahuan sendiri dalam seumur hidup.
·         Memperkembangkan bakat-bakat ciptaan serta keupayaan menilai sesuatu hasil kerja mereka melalui aktiviti-aktiviti pengayaan seperti kerja projek, lukisan, ukiran, binaan dan sebagainya.
·         Memperkembangkan bakat kepimpinan kepada peringkat yang lebih tinggi melalui cara kumpulan mengikut pelbagai kebolehan.
Jenis-Jenis Pengayaan
Aktiviti pengayaan boleh dikelaskan kepada dua jenis:
·         Pengayaan mendatar
·         Pengayaan menegak

1.    Pengayaan Mendatar
·         Pengayaan mendatar merupakan aktiviti pengayaan berdasarkan kebolehan murid-murid dalam sesuatu kumpulan. Aktiviti pengayaan dilaksanakan berdasarkan kepada tahap pencapaian murid.
·         Murid-murid dalam kumpulan lambat diberi aktiviti pengayaan yang lebih mudah dan kurang mencabar daripada aktiviti pengayaan yang diberi kepada kumpulan sederhana dan cerdas.
2.    Pengayaan Menegak
·         Pengayaan menegak merupakan aktiviti pengayaan berdasarkan minat dan bakat murid dalam kumpulan cerdas sahaja. Aktiviti pengayaan akan dirancang dan dilaksanakan dalam bentuk yang lebih kompleks, mencabar dan dalam peringkat yang lebih tinggi daripada taraf pencapaian murid darjah biasa.

Jenis –jenis Pengayaan
Prinsip program pengayaan
Prinsip program pengayaan terbahagi kepada enam yang digambarkan seperti di bawah;
·         1. Memberi penekanan kepada aktiviti yang bersifat kreatif dan eksperimental.
·         2. Membuat kerja sendiri dan hasilan kendiri.
·         3. Menggunakan daya usaha sendiri.
·         4. Memberi peluang untuk mengembangkan sifat kepimpinan sosial.
·         5. Menggunakan kaedah dan organisasi yang mudah ubah.
·         6. Melibatkan pembacaan luas.

Strategi Pelaksanaan Aktiviti Pengayaan.
·         Aktiviti Pengayaan Kumpulan Mengikut Kebolehan.
§  Kelas dibahagikan kepada tiga kumpulan: cerdas, sederhana dan lambat. Setiap kumpulan menjalankan aktiviti pengayaan dengan  menggunakan kemahiran yang sama tetapi kadar kesukaran yang berbeza
·         Aktiviti Pengayaan berjalan serentak dengan aktiviti pemulihan.
§  Semasa murid-murid cerdas dan sederhana menjalankan aktiviti pengayaan, murid-murid lambat menjalankan aktiviti pemulihan. Arahan yang diberikan kepada kumpulan cerdas dan sederhana perlu jelas agar mereka dapat menjalankan aktiviti pengayaan secara individu tanpa bimbingan guru. Guru boleh memberi perhatian atau membantu murid-murid lambat menjalani aktiviti pemulihan.

·         Aktiviti Pengayaan melalui kumpulan pelbagai kebolehan
§  Murid-murid cerdas akan dilatih membantu murid-murid lambat menjalankan aktiviti pengayaan yang disediakan Murid-murid cerdas dapat menambahkan pengalaman memimpin dan memupuk semangat kerjasama antara murid dalam kumpulan masing-masing. Cara ini amat sesuai untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang berlainan dalam masa yang sama. Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan ialah: kerja projek, permainan dan rekreasi dan sebagainya.

Pengelolaan Aktiviti Pengayaan
Objektif
·               Aktiviti pengayaan harus diberikan kepada semua peringkat murid dalam bilik darjah, peringkat cerdas, sederhana dan lambat. Memandangkan kebolehan tiap-tiap kumpulan adalah berbeza, maka objektif aktiviti pengayaan haruslah berlainan mengikut kesesuaian dan kebolehan serta taraf pencapaian kumpulan masing-masing.


Bidang
·         Memandangkan kebolehan dan taraf pencapaian adalah berbeza, maka aktiviti pengayan haruslah berlainan.
·         Murid-murid dalam kumpulan cerdas dan sederhana diberikan aktiviti pengayaan yang lebih kompleks dan mencabar. Bagi kumpulan yang lambat, aktiviti yang lebih mudah tetapi menarik.
Masa
·         Setiap hari; 20-30 minit.
·         Selepas murid-murid menguasai sesuatu atau beberapa kemahiran.
·         Selepas murid-murid menguasai semua kemahiran dalam sesuatu unit pembelajaran.

Aktiviti
·         Aktiviti pengayaan haruslah dijalankan secara tidak formal. Segala aktiviti pengayaan haruslah secara bersendirian atau secara kumpulan.
·         Bagi aktiviti kumpulan, guru boleh menyuruh murid yang cerdas membimbing murid-murid dalam kumpulannya atau kumpulan lambat. Cara ini memberikan peluang kepada murid yang cerdas menambah pengalaman dan mengasah bakat kepimpinan mereka.
·         Corak aktiviti haruslah menarik, mencabar bdan sesuai dengan kebolehan, minat dan bakat murid.
·         Selepas aktiviti pengayaan selesai dijalankan, guru boleh berbincang dengan murid-murid mengenai dengan hasil aktiviti mereka serta memberikan penghargaan sebagai galakan.

BAHAN
Bahan yang biasanya digunakan untuk aktiviti pengayaan;
*   Kad-kad bacaan tambahan, lembaran kerja dan alat-alat bantu mengajar.
*   Bahan-bahan pengajaran haruslah mengandungi arahan atau penerangan yang jelas supaya
    murid boleh menjalankannya tanpa banyak bergantung daripada tunjuk ajar guru.
RUANG / TEMPAT
·         Penyusunan meja dan kerusi murid adalah berdasarkan kepada aktiviti kumpulan. Biasanya kumpulan dibahagikan kepada tiga iaitu kumpulan cerdas, sederhana dan lambat. Tiap-tiap kumpulan mempunyai bilangan murid yang berbeza, biasanya kumpulan sederhana lebih ramai dariapada kumpulan yang lain.

·         Murid-murid dalam sesuatu kumpulan tidaklah semestinya kekal dalam kumpulan itu. Mereka boleh dipindahkan mengikut kemajuan mereka dalam sesuatu mata pelajaran.

AKTIVITI PENGAYAAN
Aktiviti pengayaan biasanya terbahagi kepada 3 iaitu bacaan tambahan,kerja- kerja projek dan permainan & rekreasi:

Bacaan Tambahan
*      Kad-kad bacaan mengikut tajuk dan tema
*      Buku pengetahuan dan cerita kanak-kanak
*      Majalah pelajar
*      Surat khabat / keratan
*      Risalah-risalah

Kerja – kerja Projek
*      Lawatan
*      Melapor Peristiwa
*      Menulis Cerita
*      Membuat Zoo Mini Sekolah
*      Mengumpul setem, gambar, keratan akhbar – Buku Skrap
*      Mengadakan pameran bilik darjah
*      Minggu Bahasa [ Kuiz, Teka Silang Kata ]

Permainan & Rekreasi.
·         Teka Silang Kata
·         Teka Benda
·         Teka Teki
·         Mencari Jalan Keluar
·         Menyambung Titik
·         Mencari tajuk kepada sesuatu gambar /cerita
·         Mencari benda tersembunyi
·         Meneka bunyi
·         Dam
·         Catur
·         Sahiba 
·         Bingo
·         Ular dan Tangga
·         Jigsaw Puzzle
·         Bermain bentuk geometri

PELAKSANAAN AKTIVITI PENGAYAAN
Aktiviti-aktiviti pengayaan boleh dilaksanakan:
1.         Dalam masa yang telah ditentukan setiap hari.
2.         Selepas menjalankan aktiviti-aktiviti asas untuk sesuatu kemahiran
3.         Selepas menguasai sesuatu kemahiran atau sekumpulan kemahiran
4.         Selepas menguasai semua kemahiran dalam sesuatu unit pembelajaran

BAHAN – BAHAN UNTUK AKTIVITI PENGAYAAN
Biasanya bahan – bahan untuk aktiviti pengayaan terbahagi kepada 3 bentuk seperti:
 
Ciri – ciri Bahan Pengayaan
·         Dapat mengukuh dan meningkatkan penggunan bahasa seperti penguasaan empat kemahiran berbahasa iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.
·         Mempunyai rangsangan dan bahan yang menarik.
·         Memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan tindak balas pelajar dengan bahan.
·         Dapat merangsang pelajar bertidak balas secara aktif dan positif.
·         Melibatkan pelajar secara aktif sama ada dalam kumpulan atau kelas.
·         Mempunyai arahan dan peraturan yang jelas.
·         Mencabar dan menggalakkan pelajar untuk berfikir secara rasional dan kritis.
·         Permainan bahasa menyediakan aktiviti ke arah memupuk sikap-sikap positif seperti bekerjasama,berdisiplin, dan berkepimpinan di kalangan pelajar.

KEPENTINGAN AKTIVITI PEMULIHAN
·         Kematangan mental pelajar rendah.
Pelajar yang di kesan untuk pemulihan adalah terdiri daripada pelajar – Pelajar yang lembap di mana mereka kurang berkebolehan dalam memahami pelajaran dan membina konsep. Mereka ini juga tidak mahir membaca dan kelemahan inilah yang menyebabkan pencapaian mereka menjadi lemah.
·         Kematangan emosi yang berkurangan.
Kawalan dan seliaan guru amat penting bagi pelajar pemulihan di mana mereka perlukan perhatian yang lebih untuk berjaya. Kedatangan mereka kesekolah adalah kerana ada tekanan dan kecewa oleh sikap ibubapa. Pelajar ini akan keliru dan tidak tahu apakah punca masalah mereka.
·         Pergaulan Sosial yang tidak matang.
Pelajar pemulihan kurang bergaul di sekolah dan j uga di rumah sehingga menjadikan mereka kurang berpengalaman dalam pengurusan hidup dan tidak suka berkerjasama dalam aktiviti kumpulan.
·         Kecacatan fizikal tubuh badan.
Tubuh badan pelajar – pelajar pemulihan biasanya mempunyai masalah kesihatan, mereka memiliki mata yang rabun, kabur, tidak dapat mendengar dengan jelas dan yang lebih teruknya cacat anggota tubuh badan.
·         Psikologi yang lemah.
Keupayaan pelajar pemulihan amat terbatas dari segi tumpuan dan ingatan, keadaan ini turut melemahkan tahap proses menggambarkan dan pengamatan. Mereka juga tiada kreativiti dan kemahiran di dalam menyelesaikan masalah.

KEPENTINGAN AKTIVITI PENGAYAAN
·         Membolehkan murid menjalani aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar
·         Menambahkan minat dan pengalaman yang boleh membantu kebolehan mereka Menambahkan sifat ingin tahu arah perkembangan diri dan bakat mereka
·         Meningkatkan semangat berdikari  
·         Meningkatkan kemahiran berfikir pembelajaran
·         Memantapkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dikuasai oleh murid
·         Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid dalam unit pembelajaran yang sama.
·         Lebih mencabar dan boleh dijalankan oleh murid secara terarah kendiri.

KESIMPULAN
             Sebagai kesimpulanya pendidikan pemulihan suatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif untuk membantu murid – murid yang menghadapi masalah di dalam kelas.Ianya bertujuan untuk mengecilkan jurang perbezaan pencapaian di kalangan murid – murid di dalam kelas dan mereka dapat belajar bersama –sama dalam suasana pembelajaran yang lebih baik di dalam kelas biasa.
            Manakala program pengayaan pula merupakan satu aktiviti yang banyak membantu untuk cekap dan menguasai sesuatu pembelajaran dengan lebih bermakna.Jika aktiviti pengayaan ini di jalankan dengan cara yang berkesan,murid akan dapat banyak manfaatnya.Ini kerana mereka bukan sahaja didedahkan dengan pelbagai bahan dan aktiviti yang dapat mengukuhkan pengetahuan sedia ada  mereka malah mereka juga didedahkan dengan pelbagai pengetahuan baharu yang boleh meningkatkan rasa minat dan lebih bermotivasi untuk belajar.



RUJUKAN

7. Mok Soon Sang,(2003). Siri Pendidikan Perguruan. Ilmu Pendidikan untuk KPLI(Sekolah
    Rendah: Komponen1&2, Psikologi Pendidikan dan Pedagogi). Kumpulan BudimanSdn.Bhd
  . Subang Jaya.
8. Pusat Perkembangan Kurikulum.(1997),Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam
    Pengajaran dan Pembelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia, KualaLumpur

 Testimoni dari Seorang Makcik yang sudah 10 Tahun Menderita sakit Urat Saraf, bila kami menyarankan untuk mengamalkan Kapsul "PENAWAR RAJA SARAF" tak habis 1 botol yang mengandungi 20 set botol kecil. insyaa Allah semua jadi kembali Normal Alhamdulillah. (KLIK GAMBAR UNTUK VIDEO MAKCIK INI)

tinyurl.com/ubatisaraf



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...