Search This Blog

Monday, August 17, 2015

ASAS PEDAGOGI





i. PENDAHULUAN
Guru dalam bilik darjah menggunakan berbagai teknik dan kaedah untuk membolehkan murid melakukan proses pembelajaran.    Aktiviti pembelajaran seperti  set  induksi, penerangan, penyoalan, tunjukcara,  variasi rangsangan, peneguhan,  penggunaan gerak-geri , gerak-isyarat, sikap(‘gesture’) dan perlakuan bukan lisan seperti senyum , anggukan kepala dan gerakan tangan dan sebagainya akan menentukan keberkesan guru. Guru yang berkesan akan memilih kemahiran-kemahiran yang sesuai dengan umur dan kebolehan murid serta objektif pelajaran, juga perlu memikirkan organisasi dan disiplin bilik darjah. Pengajaran mikro membolehkan guru  melatih diri dengan satu kemahiran pada satu masa, dan apabila satu kemahiran itu telah dikuasai, barulah dapat digabungjalinkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam pengajaran (Shahabuddin Hashim, 2003).  Pengajaran mikro juga dapat meningkatkan latihan dan kesedaran terhadap teknik pengajaran.
Refleksi saya berdasarkan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Fekah Tahun 3. Masa yang ditetapkan 30 minit. Tajuk pengajaran ialah tentang “Najis”. Setelah melihat semula rakaman dan pendapat daripada rakan-rakan dapatlah saya simpulkan kekuatan dan kelemahan pengajaran saya seperti berikut.

ii. KEKUATAN
Tugasan ini banyak membantu saya meningkatkan dan menambahkan lagi ilmu pengetahuan saya sebagai seorang guru. Diharapkan segala pengetahuan ini dapat dicurahkan kepada anak didik saya di sekolah dalam segala usaha bersesuaian dengan transformasi pendidikan masa kini.
Secara amnya saya dapat menyelesaikan tugasan ini dan saya juga berpuas hati dan berbangga kerana objektif pengajaran pada hari itu tercapai dengan cemerlang. Murid-murid juga bersemangat dan memberi kerjasama yang sepenuhnya menyebabakan tiada masalah dari segi pengawalan kelas. Fizikal kelas saya pada hari ini juga sangat ceria dan di sini dapatlah memberi keselesaan kepada murid-murid saya belajar dengan lebih kondusif, ceria dan mantap. Saya juga mempunyai personaliti yang baik seperti cara berpakaian adalah mengikut kod etika perguruan dan bersesuaian dengan gelaran seorang guru agama. Proses pengajaran dan pembelajaran juga berlaku dua hala apabila saya menggunakan teknik menyoal. (Ayob Jantan, 2005) Murid-murid memberi respon kepada soalan-soalan yang dikemukan oleh saya. Perkara ini amat berkesan untuk menarik minat murid untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai isi pelajaran. Kelebihan dan kekuatan yang dapat dikesan dalam menjalankan set induksi dalam tugasan makro pengajaran kali ini ialah saya telah melaksanakan set induksi yang menarik perhatian dan merangsang minat murid. Di samping itu juga, set induksi yang saya rancangkan menjurus kearah kesediaan minda murid seperti yang dikaitkan dengan pelajaran lepas, isu semasa dan persekitaran. Saya juga menghubungkan pengajaran saya dengan kehidupan seharian murid.
Penerangan saya dengan suara yang lantang dan jelas dalam menerangkan jenis jenis najis telah berjaya menarik minat murid terhadap pembelajaran dan berjaya merangsang minda pelajar untuk berfikir tentang isi pelajaran. Contoh-contoh yang saya berikan telah berjaya memikat hati pelajar tentang kewujudan najis di sekitar mereka. Justeru itu,  nada suara saya yang lantang memudahkan murid-murid di dalam kelas dapat mendengar dengan jelas seterusnya membantu pemahaman murid terhadap apa yang saya sampaikan. Hal ini akan memberi kesan yang baik kepada tumpuan dan fokus murid terhadap pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.
 Di samping itu juga , murid akan dapat memberi tumpuan terhadap isi pembelajaran tanpa menghiraukan gangguan-gangguan lain. Ketegasan dalam menyampaikan isi pembelajaran juga membuatkan murid lebih hormat kepada saya.

iii. KELEMAHAN SERTA LANGKAH MENGATASI
Setelah diteliti dan dinilai semula saya rasa masih ada kekurangan pada makro pengajaran saya ini. Pertamanya adalah penggunaan papan tulis. Saya tidak menulis tajuk pelajaran setelah memperkenalkan tajuk pelajaran kepada murid-murid. Tajuk pelajaran sepatutnya perlu ditulis dengan jelas pada papan tulis. Kecuaian saya ini menyebabkan murid yang berada di aras 1, mungkin tertanya-tanya mengenai tajuk yang diperkenalkan oleh saya selepas set induksi dilaksanakan. Selain itu saya juga tidak memakai tanda nama sewaktu mengajar. Tanda nama merupakan cabang dalam kod etika perguruan (Muhamat Said, 2007). Seseorang guru yang tidak memakai tanda nama dianggap salah dari segi kod etika berpakaian kakitangan kerajaan seperti yang telah digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jika diberi peluang sekali lagi saya berharap perkara-perkara yang mungkin dianggap remeh ini tidak akan berlaku lagi.
Selain itu, saya tidak menggunakan bahan bantu mengajar mengikut seperti apa yang telah saya rancangkan. Hal ini berlaku kerana berlaku sedikit kekangan tatkala memasang projektor pada kelas saya. Projekter tersebut rosak dan tidak boleh digunakan menyebabkan saya telah hilang mood dan terpaksa menggantikan bahan bantu mengajar saya dengan kertas majung sahaja. Saya telah pun menyediakan slide (power point) untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran saya ini, namun kita hanya merancang dan Allah saja yang telah menentukan. Sepatutnya saya juga boleh menggunakan tayangan video yang dimuat naik dari “you tube” sebagai bahan pengajaran kerana dengan tayangan tersebut murid-murid mungkin lebih berminat dan bersemangat untuk mengetahui isi pelajaran saya pada hari itu (Rozinah Jamaludin, 2005). Jika saya diberi peluang sekali lagi untuk mengajar tajuk ini, saya akan mengaplikasikan penggunaan ICT dalam pengajaran saya.
Saya juga kurang prihatin dengan aktiviti atau kaedah pengajaran saya. Saya hanya menggunakan beberapa kaedah biasa sahaja iaitu penyoalan, perbincangan, pembentangan dan membaca semula teks yang dipamerkan serta kaedah sumbangsaran. Selain itu saya juga lebih banyak menggunakan kedah syarahan. Jika dilihat semula kaedah atau teknik lakunan atau simulasi juga boleh digunakan agar murid-murid menjadi lebih cergas.
Pada langkah pengukuhan pula saya kurang melibatkan semua murid. Murid yang berada di aras 1 tidak dikumpulkan dan tidak dibimbing sepenuhnya. Saya hanya membimbing murid yang bertanyakan soalan sahaja. Jika saya berpeluang sekali lagi mengajar tajuk ini perkara-perkara sebegini akan lebih saya berikan perhatian.
Seterunya saya juga kurang menyentuh kepintaran semua murid secara terperinci. Saya lebih banyak memberi ruang kepada murid yang aktif sahaja menyertai pengajaran saya. Murid-murid yang berada pada aras 1 tidak berperanan kerana tidak diberi ruang kepadanya secara khusus. Jika saya diberi peluang mengajar tajuk ini lagi, saya akan memastikan semua murid menyertai proses pengajaran dan pembelajar yang saya jalankan.
Saya juga kurang menitik berat akan masa yang patut diambil bagi sesi pengajaran saya kali ini. Justeru saya terkejar-kejar menggunakan setiap masa yang ada dengan keadaan yang agak kalut. Jika saya berpeluang mengajar sekali lagi tajuk ini, saya akan memperuntukkan masa yang lebih. Masa 30 minit agak kurang sesuai untuk mengajar secara keseluruhan isi kandungan dalam tajuk ini. Contohnya saya boleh menggunakan 15 minit pada pengertian dan bahagian najis sahaja, manakala saya perlu menggunakan 15 minit lagi untuk mengajar contoh dan jenis-jenis najis. Masa yang sebegini dapat memberi ruang mengajar yang lebih selesa untuk mempelbagaikan aktiviti seperti tayangan video, simulasi dan sebagainya. Pengurusan masa sangat penting bagi seseorang guru terutama ketika merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran sebenar. Masa yang diatur dengan baik serta bijak akan menghasilkan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang baik dan berkesan.

iv. KESIMPULAN
Ekoran daripada membuat refleksi ini, saya dapat mengambil kesempatan untuk memuhasabah diri saya dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran terutama pada tajuk ini. Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki. Justeru saya perlu mengambil beberapa langkah segera dan bersesuaian jika saya diberi peluang mengajar pada lain kalinya. Perkara-perkara yang boleh menyebabkan proses pengajaran dan pembelajara menjadi lemah perlulah segera diatasi dan juga dielakkan dari berlaku. Yang sedemikian seseorang guru haruslah memiliki sifat kreatif, kritis dan inovatif. Hal ini akan lebih menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan secemerlang mungkin. Walaubagaimana dan apa carapun yang paling penting adalah berlakunya proses guru mengajar dan murid belajar di dalam kelas. Perkara ini lebih diutamakan kerana ianya merupakan proses pengajaran atau penyampaian ilmu yang sebenar. Murid dididik secemerlang mungkin akhlak dan peribadinya selaras dengan keseimbangan duniawi dan ukhrawi selain mencapai objektif yang paling diharapkan oleh semua warga pendidik sesuai dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Saya akan sentiasa berusaha untuk mencuba pelbagaikan kaedah,startegi dan teknik yang berkesan bagi pemahaman murid ke atas setiap isi pelajaran yang disampaikan dan saya akan membuat refleksi semula apakah kelemahan saya untuk penambahbaikan ke atas setiap pengajaran yang saya lakukan. Justeru itu, saya juga akan berkongsi pandangan dan pendapat daripada rakan-rakan agar tercapai amanah yang dipertanggungjawabkan sebagai seorang pendidik untuk menyebarkan ilmu kepada anak bangsa kita sendiri.



CARA MUDAH DAN MURAH RAWAT RESDUNG (KLIK DISINI)



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...