Sejarah puasa Ramadan bermula pada akhir bulan Syaaban tahun kedua Hijrah iaitu dua tahun selepas Nabi Muhammad berpindah dari mekah ke Madinah. Madinah terletak sejauh 320 kilometer ke utara Mekah. Peristiwa ini berlaku pada bulan September 622. Sepanjang hayat, beliau sempat berpuasa Ramadan sebanyak sembilan kali.
Para sarjana Islam merekodkan sejarah puasa bermula sejak Nabi Adam. Beliau berpuasa bagi membayar kafarah dosa kerana memakan buah terlarang di dalam syurga. Akibat terpengaruh dengan tipu daya syaitan, beliau dihalau keluar dari syurga dengan hikmah yang diatur oleh Allah. Allah menetapkan Adam dan keturunannya beribadah di bumi dan mentadbir bumi dengan agama Allah.
Ibadat puasa ini terus ditunaikan pada zaman nabi-nabi dengan tujuan menguatkan iman, roh dan jasad dalam menghadapi cabaran nafsu yang menggoda. Selain itu, puasa juga adalah cara mendekatkan diri kepada Tuhan serta menghapuskan dosa yang pernah dilakukan.
Pakar-pakar sejarah mendapati puasa dilakukan oleh semua manusia sejak zaman-berzaman. Bangsa Mesir purba yang menyembah berhala juga berpuasa. Bangsa Yunani juga mewajibkan setiap anak lelaki dan perempuan berpuasa. Bangsa Romawi dan Hindu masih berpuasa hingga ke hari ini.
Dalam kitab Taurat, puasa diwajibkan ke atas orang-orang Yahudi pada hari ke-10 hari bulan ke tujuh dalam kalendar mereka. Ia bertepatan dengan bulan Syaaban bagi orang Islam lalu ia dinamakan hari Asyura(sepuluh). Mereka berpuasa siang dan malam. Puasa yang termasyur bagi orang-orang Nasrani pula ialah puasa sebelum Iedil Fishi iaitu hari memperingati kebangkitan al-Masih dari kubur.
Menurut Imam al-Qurtubi, pada zaman Nabi Musa dan Nabi Isa, Allah juga mewajibkan mereka dan umat mereka supaya berpuasa pada bulan Ramadan. Kemudian mereka mengubah puasa Ramadan itu dengan menambah 10 hari sebagai nazar pendeta yang sembuh daripada sakit. Oleh itu, puasa orang Nasrani menjadi 40 hari.
Pada masa itu, Ramadan bermula pada musim panas. Mereka meminda puasa Ramadan itu pada musim sejuk. Pendeta yang sakit itu bernazar, sekiranya dia sembuh daripada sakit mulutnya dia menambah puasa sehingga menjadi 50 hari. Kemudian ia dipinda dan ditambah oleh ketua-ketua gereja dengan berpuasa yang lain dan dalam bentuk yang lain. Ada yang berpuasa daripada memakan daging, telur, ikan,susu dan sebagainya.
Imam Mujahid berkata Allah mewajibkan puasa ke atas setiap generasi manusia. Rashid Ridha menguatkan pendapat ini dengan berkata, "Puasa hari ini pernah dilakukan oleh masyarakat Arab sebelum Islam."
Aisyah melaporkan orang Quraish Mekah berpuasa pada hari Asyura. Puasa hari Asyura berlaku pada 10 Muharram setiap tahun hijrah. Apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, beliau mendapati orang Yahudi juga berpuasa pada hari Asyura. Oleh itu, beliau dan para sahabat berpuasa dengan menambah satu hari sebelum hari Asyura bagi membezakan puasa orang Yahudi dengan orang Islam.
Pada penghujung bulan Syaaban tahun kedua Hijrah, Allah menurunkan ayat 183 hingga 185 surah al-Baqarah yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadan. Selepas puasa Ramadan diwajibkan, hukum mengenai puasa Asyura pun berubah. Nabi Muhammad mengeluarkan hukum mengenai puasa Asyura yang dilakukan sebelum itu,
"Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari Asyura, berpuasalah den sesiapa yang hendak berbuka berbukalah."
Nabi Muhammad berpuasa Ramadan selama hidupnya sebanyak sembilan kali. Lapan kali dengan 29 hari dan sekali sahaja puasa penuh 30 hari. Mengikut laporan yang lain sebanyak dua kali puasa penuh 30 hari.
Allah maha bijaksana menetapkan puasa wajib pada bulan Ramadan serta menentukan kitab-kitabnya turun pada bulan yang sama.
Puasa pada bulan Ramadan adalah suruhan Allah supaya meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Larangan-larangan itu pula adalah asas keperluan hidup manusia walaupun pada asalnya ia dihalalkan pada masa yang lain. Antaranya adalah makan, minum, hubungan seks antara suami dengan isteri dan lain-lain.
Hubungan suami isteri bkan sekadar memuaskan nafsu bahkan masyarakat perlu melahirkan zuriat dan penyambung keturunan. Walaupun semua ini halal pada asalnya, apabila memasuki bulan Ramadan, Allah melarang melakukannya pada tempoh yang ditetapkan.
Artikel dipetik daripada buku Ramadan Tetamu yang Dirindui hasil tulisan Tuan Abdul Hadi Awang.