Search This Blog

Tuesday, March 6, 2012

TEORI PENDIDIKAN (KOGNITIF)

Pengajaran dan pembelajaran telah memainkan peranan penting dalam pendidikan di negara kita Malaysia. Era ICT kini telah memajukan bidang pendidikan . Kalau dulu, guru-guru terikat dengan buku teks dan mengamalkan pengajaran dan pembelajaran ala 'chalk and talk' tetapi kini pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan secara atas talian atau menggunakan perisian pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer(PPBK). Dalam pembinaan PPBK, seseorang guru perlu memahami psikologi pelajar dan proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Griffith W. Williams, psikologi bermaksud satu cabang penyiasatan saintifik tentang tingkah laku. James O. Whittaker menyatakan bahawa psikologi adalah aktiviti atau sains tingkah laku khususnya tingkah laku manusia. Atan Long(1976) menghuraikan psikologi pendidikan sebagai sains yang mengkaji tingkah laku pelajar dalam suasana pembelajaran dalam bilik darjah. Smith (1978) menjelaskan psikologi pendidikan sebagai kajian saintifik terhadap tingkah laku individu dalam pendidikan , termasuk prinsip-prinsip dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan untuk menyelesaikan masalah pendidikan. Ahli psikologi mungkin mengkaji tingkah laku secara saintifik, atau mereka mungkin menggunakan teori dan dapatan penyelidikan orang lain untuk masalah praktikal.
Pengajaran adalah sesuatu proses berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran supaya pelajar-pelajar dapat mempelajari dan menguasainya dengan berkesan. Melalui pengajaran, pelajar berubah dari tidak tahu kepada tahu. Terdapat beberapa model pengajaran yang dipraktikkan oleh guru-guru pada masa kini. Mengikut Thomas F. Green, tujuan mengajar ialah menukar tingkah laku dan kelakukan pelajar melalui perolehan ilmu pengetahuan atau kepercayaan baru.
Pembelajaran merupakan satu proses berterusan. Menurut kamus dewan(1994), pembelajaran adalah usaha memperoleh ilmu pengetahuan, menuntut ilmu pengetahuan. Proses ini mengkehendaki pelajar melalui pengalaman seperti mendapat penerangan guru, membuat latihan bertulis atau amali sehingga berlaku perubahan dalam diri pelajar. Robert M. Gagne (1970) dalam bukunya 'The Condition of Learning' mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan. Menurut Mayer (1982), pembelajaran adalah perubahan kekal dalam pengetahuan seseorang melalui pengalaman. Driscoll (1994) menyebut bahawa pembelajaran adalah perubahan prestasi secara berterusan dalam diri manusia hasil dari interaksi pembelajaran dengan persekitaran. Oleh itu pembelajaran merupakan satu proses yang mengubah keadaan, sikap, pengetahuan manusia menerusi pengalaman. Ciri kekekalan terbentuk dari perubahan-perubahan ini.

Pada asasnya konsep pembelajaran berlandaskan teori-teori pembelajaran masa kini. Konsep Pembelajaran diperoleh manusia sejak kecil lagi sama ada secara formal atau tidak formal. Manusia menggunakan derianya seperti mata, hidung, mata, telinga bagi meyesuaikan diri dengan persekitaran. Teori-teori pembelajaran terdiri daripada kognitif, konstruktisme, behaviourisme dan 'Multiple Choices'. Proses pembelajaran berlaku secara berperingkat-peringkat. Tindakan mengamalkan pengalaman atau ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam proses pembelajaran merupakan satu perubahan tingkah laku manusia.

Teori ialah prinsip kasar yang menjadi dasar pembentukan sesuatu ilmu pengetahuan. Ianya juga merupakan suatu rumusan daripada pengetahuan sedia ada yang memberi panduan untuk menjalankan penyelidikan dan mendapatkan maklumat baru. Pada asasnya, teori-teori pembelajaran masa kini boleh diklasifikasikan kepada empat teori yang utama iaitu, behavioristik, kognitif, sosial dan humanistik. teori kognitif pula berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran, dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku. Ahli-ahli psikologi kognitif seperti Bruner dan Piaget menumpukan kajian kepada pelbagai jenis pembelajaran dalam proses penyelesaian masalah dan celik akal mengikut pelbagai peringkat umur dan kebolehan pelajar. Teori-teori pembelajaran mereka adalah bertumpu kepada cara pembelajaran seperti pemikiran celik akal, kaedah penyelesaian masalah, penemuan dan pengkategorian. Menurut teori ini, manusia memiliki struktur kognitif, dan semasa proses pembelajaran, otak akan menyusun segala maklumat di dalam ingatan.

Antara Pelopor dan prinsip teori kognitif ini ialah 

1.   Wolfgang Kohler (1887-1967).beliau terkenal dengan jenis pembelajaran celik akal dan pernah menjalankan kajian ke atas 5 ekor cimpanzi iaitu Chica, Grande, Konsul, Ranan dan Sultan. Beliau berpendapat bahawa mengikut kebiasaan apabila berdepan dengan situasi yang bermasalah, haiwan akan berusaha untuk mencari perhubungan menuju penyelesaian. Kohler menjalankan pembelajaran celik akal yang mana beliau telah meletakkan pisang di luar bersama 2 batang buluh di dalam sangkar Sultan. ( tiap 1 buluh tidak cukup panjang untuk sampai ke pisang itu).Tidak lama kemudian, Sultan menyambung kedua-dua buluh itu lalu menjadi buluh yang cukup panjang untuk mencapai pisang tersebut.Kohler juga telah menggantung pisang di atas sangkar Sultan.Ia tidak berjaya mencapai pisang tersebut.Kemudian, Sultan menggerakkan sebuah kotak yang terletak di sudut sangkar sehingga kotak itu berada di bawah pisang tergantung.Sultan pun melompat daripada kotak itu lalu mencapai pisang tersebut.Prinsip pembelajaran celik akal Kohler ini membuktikan kita sering memperoleh penyelesaian terhadap masalah dengan cara yang agak mendadak. Konsep berfikir ditakrifkan sebagai mencari dan berpegang kepada perhubungan antara dua perkara.

2.   Jerome Seymour Bruner.Beliau sering dikaitkan dengan pembelajaran penemuan dan mengatakan pembelajaran adalah satu proses sosial aktif.Pembelajaran berlaku mengikut 3 langkah iaitu enaktif, ikonik dan simbolik.Pengetahuan dan kemahiran diperoleh mengikut satu pola yang disifatkan sebagai pecutan dan rehat.Persekitaran juga memainkan peranan penting dalam menentukan kadar proses pemahaman dan penguasaan satu-satu konsep, (mempercepat atau melambat) dan murid lebih mudah untuk memperoleh pengetahuan apabila mereka menemui sendiri. Pembelajaran penemuan Bruner menyatakan konsep mengetahui adalah satu proses.Apabila murid diberi situasi agak kompleks, mereka akan berusaha untuk mencari penyelesaian.Pembelajaran ini menggalakkan murid menggunakan intuisi, imaginasi dan kreativiti secara aktif.Guru perlu bermula dengan sesuatu yang khusus kemudian berakhir dengan yang umum.Murid-murid belajar melalui pengalaman. Dengan itu guru perlu menyediakan peluang untuk murid-murid menroka, memegang, mencium dan merasa. Pengalaman seperti ini mewujudkan proses pembelajaran yang bermakna. Bagi murid-murid di Tahap Satu, gambar, carta dan objek perlu digunakan bagi memudahkan pembentukan konsep.Bagi murid-murid Tahun Enam ke atas, hukum dan prinsip perlu ditekankan agar murid-murid berupaya mengaplikasikannya dalam proses penyelesaian masalah. Bruner juga menekankan pembelajaran yang terhasil daripada interaksi murid dengan guru, interaksi dengan murid-murid lain dan interaksi dengan bahn pengajaran. Maka kerja berkumpulan dan sesi perbincangan perlu diadakan dari masa ke semasa.Penglibatan murid-murid penting agar mereka dapat menikmati pembelajaran bermakna. Pengetahuan juga perlu disusun dan diperingkatkan agar pembentukan konsep bermula daripada peringkat yang mudah kepada peringkat yang rumit. Ini bermakna guru perlu memeringkatkan isi pelajaran.Bruner juga menekankan motivasi ekstrinsik dan motivasi intrinsik. Ini bermakna guru perlu memberi ganjaran dan pujian apabila sesuatu tingkahlau yang diingini dilakukan. Kesediaan belajar juga ditekankan oleh Bruner. Dengan itu, guru perlu mengambil kira kesediaan belajar murid-murid ketika merancang proses pengajarannya. Sementara itu, nilai-nilai murni seperti bekerjasama, bertolak ansur dan tolong-menolong akan dapat dipupuk dalam aktiviti pengumpulan maklumat projek dan perbincangan. Kajian Bruner menekankan perkembangan kognitif kanak-kanak. Ia menekankan cara-cara manusia berinteraksi dalam alam sekitar dan menggambarkan pengalaman secara dalaman. Menurut Bruner, perkembangan kognitif juga melalui peringkat-peringkat tertentu. Peringkat-peringkat tersebut adalah seperti berikut:


  • Peringkat enaktif ( 0 – 2 tahun )
  • Peringkat ikonik ( 2 – 4 tahun )
  • Peringkat simbolik ( 5 – 7 tahun )

Bruner amat menekankan pembelajaran konsep atau kategori. Beliau mengutamakan pembelajaran secara induktif dengan menggunakan konsep atau kategori. Beliau juga mementingkan sistem pengekodan dalam huraiannya tentang pemikiran. Dengan adanya sistem pengekodan, kita dapat membuat inferens (kesimpulan) daripada rangsangan yang diterima.

3.    David Ausubel (1963, 1977) mengemukakan teori pembelajaran yang mengatakan manusia memperoleh ilmu kebanyakannya dalam bentuk pembelajaran resepsi dan bukan daripadapembelajaran penemuan atau dikenali sebagai Model Pembelajaran Ekspositori. Ausubeljuga mengemukakan pembelajaran lisan bermakna (meaningful verbal learning), termasuk pentingnya maklumat lisan, idea dan hubungan antara idea yang dikenali sebagai Konsep Penyusunan Awal. Bagaimanapun, hafalan (rote memorization) tidak dianggap sebagai pembelajaran bermakna.

Model pembelajaran ekspositori yang dikemukakan oleh Ausubel menekankan penerangan bahan pembelajaran oleh guru dalam bentuk fakta yang tersusun dan dijelaskan menurut urutan serta fakta yang lengkap. Ausubel menegaskan pembelajaran sepatutnya berkembang dalam bentuk deduktif daripada am kepada spesifik atau daripada prinsip kepada contoh
Penyusunan awal (advance organizer) telah diperkenalkan oleh Ausubel untukmenyesuaikan skema pelajar dengan bahan pembelajaran, supaya pembelajaran optimal berlaku. Salah satu strategi untuk memastikan wujudnya kesesuaian tersebut ialah memulakan pembelajaran berpandukan kepada “penyusunan awal”. Ia merupakan struktur yang menerangkan hubungan antara konsep-konsep yang hendak disampaikan pada hari tersebut.
Fungsi penyusunan awal ialah untuk menjelaskan kepada guru dan pelajar tentang perkara-perkara yang perlu difahami bagi sesuatu tajuk pelajaran. Penyusunan awal juga boleh menghubungkan konsep baru dengan konsep yang telah dipelajari. Jadi terdapat tiga tujuan penggunaan penyusunan awal, iaitu memberi gambaran tentang apa yang penting dalam pelajaran, menjelaskan hubungan antara konsep yang akan dihuraikan dan menggerakkan minda pelajar untuk mengingat semula konsep berkaitanyang telah dipelajari.
Prinsip pembelajaran dan pengajaran Ausubel boleh digunakan dalam pengajaran dengan memberikan perhatian kepada dua perkara iaitu beliau mencadangkan supaya guru menggunakan pembelajaran resepsi (penerimaan)atau model pengajaran ekspositori kerana guru dapat menyampaikan maklumat yanglengkap dalam susunan yang teratur seperti dalam kaedah kuliah. Kedua menggunakan penyusunan awal dalam pengajaran untuk menggalakkan pelajarmengingat semula konsep yang telah dipelajari dan mengaitkannya dengan konsep baru yang akan dipelajari serta mengingatkan mereka tentang perkara-perkara penting dalam sesuatu tajuk pelajaran.

Teori pembelajaran kognitif dari Jean Piaget mengutarakan beberapa konsep penting. Antara konsep-konsep penting tersebut adalah :

1. Skema
Ia merujuk kepada potensi am yang ada dalam diri manusia untuk melakukan sesuatu dengan cara tertentu.Contohnya, sewaktu dilahirkan, bayi telah dilengkapkan dengan beberapa gerakan pantulan yang dikenali sebagai skema seperti gerakan menghisap, memandang, mencapai, merasa, memegang, serta menggerakkan tangan dan kaki.Bagi gerakan memegang, kandungan skemanya adalah memegang benda yang tidak menyakitkan.Oleh itu, bayi juga akan cenderung memegang benda-benda yang tidak menyakitkan seperti contoh, jari ibu.Skema yang ada pada bayi akan menentukan bagaimana bayi bertindakbalas dengan persekitarannya.

2. Asimilasi
Asimilasi merupakan satu proses penyesuaian antara objek yang baru diperolehi dengan skema yang sedia ada.Proses asimilasi yang berlaku membolehkan manusia mengikuti sesuatu modifikasi skemamhasil daripada pengalaman yang baru diperolehi.Contohnya, seorang kanak-kanak yang baru pertama kali melihat sebiji epal. Oleh itu, kanak- kanak tersebut akan menggunakan skema memegang (skema yang sedia ada) dan sekaligus merasanya. Melaluinya, kanak-kanak tersebut akan mendapat pengetahuan yang baru baginya berkenaan "sebiji epal".

3. Akomodasi
Merupakan suatu proses di mana struktur kognitif mengalami perubahan.Akomodasi berfungsi apabila skema tidak dapat mengasimilasi (menyesuaikan) persekitaran baru yang belum lagi berada dalam perolehan kognitif kanak-kanak.Jean Piaget menganggap perubahan ini sebagai suatu proses pembelajaran.Contohnya, kanak-kanak yang berumur dua tahun yang tidak ditunjukkan magnet akan menyatukan objek baru ke dalam skemanya dan mewujudkan penyesuaian konsep terhadap magnet itu.

4. Adaptasi
Ia merupakan satu keadaan di mana wujud keseimbangan di antara akomodasi dan asimilasi untuk disesuaikan dengan persekitaran.Keadaan keseimbangan akan wujud apabila kanak-kanak mempunyai kecenderungan sejadi untuk mencipta hubungan apa yang dipelajari dengan kehendak persekitaran.
Jean Piaget mendapati kemampuan mental manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui. Menurut beliau lagi, perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan. Tanpa pengalaman-pengalaman tersebut, kanak-kanak dianggap tidak mampu mencapai tahap perkembangan kognitif yang tinggi.
Oleh yang demikian, beliau telah membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap yang mengikut turutan umur. Tahap-tahap perkembangan tersebut ialah :
  • Tahap Sensorimotor @ deria motor (dari lahir hingga 2 tahun)
  • Tahap Praoperasi ( 2 hingga 7 tahun)
  • Tahap Operasi Konkrit (7 hingga 11 tahun)
  • Tahap Operasi Formal (11 tahun hingga dewasa)



Tahap Sensorimotor (dari lahir – 2 tahun)
Pada tahap ini, bayi melihat kepada hubungan antara badannya dengan persekitaran. Kebolehan deria motornya berkembang dari semasa ke semasa. Bayi tersebut mempelajari tentang dirinya dengan melihat, menyentuh, dan mendengar di sekelilingnya kemudian menirunya. Kebolehan untuk meniru tingkah laku dikenali sebagai pembelajaran melalui pemerhatian (observational learning) (Mussen dan Kagan, 1974). Dalam perkembangan sensorimotor ini, terdapat enam sub tahap yang dikategorikan dengan melihat perkembangan kebolehan tertentu pada umur yang tertentu.

a) Dari lahir hingga satu bulan (refleks)
Bayi hanya mampu melakukan gerakan pantulan. Gerakan pantulan yang diwujudkan lahir melalui tingkah laku pendengaran, penyusunan, gerakan tangan (genggaman dan sebagainya), penyesuaian, pandangan, pergerakan mata dan sebagainya. Gerakan ini belum dapat ditentukan perbezaannya. Sebahagian besar daripada gerakan ini dilakukan ialah untuk keperluan tertentu atau hanya sebagai gerakan pantulan sahaja.

b) Sebulan hingga empat bulan (reaksi asas sekular)
Peringkat pertama pencapaian untuk penyesuaian dan berlakunya reaksi sekular. bayi mula mempunyai pengertian tentang bahagian badannya yang tertentu. Di tahap ini pengalaman memainkan peranan yang penting untuk pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Pengalaman boleh didapati daripada perkembangan di tahap pertama. dengan itu tingkah laku kanak-kanak pada tahap kedua ini sudah bergantung kepada andaian sebab musabab yang tertentu untuk mewujudkan sesuatu situasi baru. Pergerakan sistem sensori mula diselaraskan dengan sistem pandangan dan gerakan tangan. bila mendengar sesuatu bunyi, bayi akan menggerakkan kepala dan matanya ke arah punca sumber bunyi. Contohnya, sekiranya bayi tersebut melakukan sesuatu tingkah laku yang ganjarannya akan mendapat menyeronokkan atau menyenangkan, dia akan mengulangi tingkah laku itu lagi.

c) Empat hingga lapan bulan (reaksi sekular kedua)
Di tahap ini bayi mempunyai persediaan untuk membuat pandangan da n pemerhatian yang lebih. Kebanyakan tingkahlaku bayi dihasilkan daripada sesuatu proses pem belajaran. Bayi telah dapat melakukan tingkah laku baru seperti mengambil sesuat u barang lalu menggerakkannya. Di waktu ini, bayi boleh membuat tanggapan ten tang objek dalam tangannya. Contohnya, bayi itu sengaja memasukkan barang mainan ke dalam mulut dengan tujuan untuk mengeta hui atau mengenali barang tersebut.

d) Lapan hingga dua belas bulan ( reaksi kordinasi)
Ia dikatakan sebagai masa pengukuhan di mana keadaan yang wujud sebelumnya disesuaikan di antara satu sama lain. Pada tahap ini, perkembangan mental bayi sudah dapat dikatakan sebagai sebagai berada di tahap perkembangan daya kognitif dan kebolehan mental asas pada bayi. Bayi sudah mengetahui sebab akibat sesuatu keadaan berlaku. Contohnya, apabila menggoncangkan sesuatu alat mainan, ia akan berbunyi.

e) Dua belas bulan hingga lapan belas bulan (reaksi sekular ketiga)
Pada ketika ini, penemuan makna baru melalui pengalaman yang dilalui oleh bayi berlaku secara aktif. hal ini, bayi memerlukan kecepatan untuk melahirkan keseluruhan rangkaian tingkah laku apabila berada di dalam sesuatu situasi baru. di tahap ini, bayi memperlihatkan kemajuan yang pesat berhubung dengan pemahaman sesuatu konsep dan telah mempunyai konsep yang kukuh tentang sesuatu objek. bayi juga mengalami proses cuba jaya tetapi dalam keadaan yang mudah. Contohnya, kanak-kanak ini akan mencuba pelbagai bunyi dan tingkah laku untuk mendapatkan perhatian.

f) Lapan belas bulan hingga dua tahun (penggambaran pemikiran awal)
Berlakunya kombinasi mental di mana kanak-kanak mula mempunyai keupayaan untuk memahami aktiviti permainan dan fungsi simbolik. Pada ketika ini, kanak-kanak dapat mengatasi masalah kaedah cuba jaya dan dapat membezakan jenis-jenis tingkah laku peniruan yang diperhatikan. kanak-kanak juga telah mengetahui tentang peranan jantina dan fungsi individu dalam rumahtangga.

Tahap Praoperasi ( 2-7 tahun )
Menurut Piaget, perkembangan yang paling penting di tahap ini ialah penggunaan bahasa. Kanak-kanak yang berada di tahap ini mula menggunakan simbol di dalam permainan, contohnya mengandaikan buku sebagai kereta apabila ditolak di atas lantai. Namun begitu, dari segi kualiti, pemikiran kanak-kanak masih lagi di tahap yang rendah berbanding dengan orang dewasa. Contohnya, pemikiran kanak-kanak adalah egosentrik di mana, di dunia ini, keseluruhannya dilihat hanya dari perspektif mereka sahaja.
Piaget juga mengatakan bahawa proses perkembangan kognitif kanak-kanak menjadi lebih sempurna menerusi tiga kebolehan asasyang berlaku iaitu :
Perkembangan kebolehan mental kanak-kanak untuk melakukan tingkah laku yang ketara seperti kebolehan mengira.
Melalui latihan yang diulang-ulang, rangkaian tingkah laku yang dikukuhkan dan digeneralisasikan sehingga menjadi skema tingkah laku yang stabil.
Hal-hal umum yang betul-betul difahami oleh individu bagi mewujudkan sesuatu pengukuhan tingkah laku.
Selain itu, Piaget juga mengatakan bahawa operasi yang berlaku mesti berasaskan pada tiga fenomena mental yang penting iaitupengamatan, ingatan dan bayangan. Pengamatan merupakan suatu proses di mana kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian terhadap sesuatu yang dilihat. Sementara, ingatan pula ialah satu proses pembinaan, pengumpulan dan pengambilan kembali memori mengenai peristiwa lalu. Manakala, bayangan merupakan satu proses yang menyebabkan sensasi yang statik, selalunya pandangan dan pendengaran yang dikumpulkan di bahagian mental
Bagi tahap ini, Piaget telah bahagikan kepada dua sub tahap iaitu :
  • Tahap Pro-konseptual ( 2-4 tahun )
  • Tahap Pra-operasi ( 4-7 tahun )

Di tahap pra-konseptual, kanak-kanak belum lagi dapat membezakan dan memahami dua atau lebih dimensi pada masa yang sama. Hal ini kerana, mereka belum dapat menyusun penerangan yang ada dalam pemikiran.
Kecerdasan di tahap ini selalunya dihuraikan sebagai kaku, tegang, ketidaksanggupan membuat kesimpulan dan tidak menumpukan perhatian terhadap hubungan di antara peristiwa yang berbeza. Terdapat empat kandungan utama proses kognitif dalam tahap ini iaitu 'egocentrism', 'konsep sebab-akibat', 'peningkatan perolehan bahasa' dan 'pembentukan identiti diri'.
Satu lagi kekurangan di tahap ini ialah dari segi prinsip ketekalan ; iaitu pengetahuan bahawa kuantiti adalah tidak berhubung kait dengan susunan @ keadaan fizikal sesuatu objek. Kanak-kanak yang tidak memahami prinsip ini tidak akan tahu bahawa jumlah, isipadu atau panjang sesuatu objek tidak akan berubah apabila bentuk dan susunannya berubah.

Tahap Operasi Konkrit ( 7 - 11 TAHUN)
Tahap ketiga Piaget dikenali sebagai tahap operasi konkrit iaitu berlaku semasa kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun. Pada tahap ini, kanak-kanak tidak lagi berfikir secara egosentrik seperti yang berlaku pada tahap praoperasi. Perasaan ingin tahu menjadikan kanak-kanak pada tahap ini akan gemar bertanyakan sesuatu yang menarik minat mereka kepada orang yang lebih dewasa. Berkembangnya semangat inkuiri ini seterusnya menyebabkan mereka mula menerima pendapat orang lain. Kanak-kanak akan mula belajar bermain dan bergaul dengan rakan-rakan yang sebaya kerana pada tahap ini mereka akan mula memasuki zaman persekolahan.
Satu lagi perubahan yang dapat dilihat ialah mereka sedikit demi sedikit sudah mula memahami unsur-unsur pemikiran logik. Mereka faham akan konsep-konsep nombor, berat, susunan dan padatan. mereka juga faham akan konsep pengekalan sesuatu benda atau objek. Walaubagaimanapun, kanak-kanak pada umur sebegini masih belum memahami atau menaakul tentang perkara-perkara yang abstrak seperti konsep kenegaraan, ketuhanan, makna hidup dan sebagainya. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang konkrit atau objektif seperti mengenali haiwan, tumbuhan dan sebagainya.
Dengan itu, Inhelder dan Piaget (1958) menegaskan bahawa kanak-kanak pada tahap ini boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas objek lain tetapi tidak boleh beroperasi ke atas operasi atau proses pemikirannya sendiri.

Peringkat Operasi Formal (11 tahun ke atas)
Pada peringkat ini kanak-kanak berkebolehan untuk memikirkan beberapa pertimbangan bagi satu satu masalah. Mereka berupaya untuk berfikir secara abstrak. Justeru, mereka boleh menyelesaikan masalah kompleks dan berbentuk hipotetikal yang melibatkan operasi abstrak.
Proses kognitif boleh mempengaruhi pembelajaran. Murid memainkan peranan aktif dalam proses pembelajaran, bukan guru yang menentukan apa yang akan/tidak dipelajari. Pembelajaran melibatkan proses hubungan proses mental yang tidak dapat diperhatikan dan pengetahuan biasanya disusun sistematik serta ianya proses mengitegrasikan maklumat baru dengan maklumat yang pernah dipelajari. Ahli-ahli psikologi kognitif berpendapat pembelajaran adalah perubahan pengetahuan yang disimpan dalam ingatan. Ingatan manusia terbahagi kepada dua ciri penting iaitu maklumat yang ada dalam ingatan akan tersusun dan aktif. Ingatan tidak menerima sebarang maklumat dengan begitu mudah sebaliknya ingatan akan membuat sintesis terhadap maklumat, membuat pencarian dan menyusunnya menjadi maklumat baru. Maklumat tadi disepadukan dengan pengetahuan serta disimpan dalam ingatan. Pemerhatian merujuk kepada proses memilih maklumat yang diterima dari persekitaran. Mengekod merujuk kepada proses menterjemah maklumat ke bentuk yang bermakna yang mudah diingati. Manakala penemuan merujuk kepada proses mengenalpasti dan memanggil semula maklumat bagi tujuan tertentu. Oleh itu seseorang individu akan mudah memanggil semula maklumat dari ingatan dan menggunakannya di situasi tertentu secara efektif.


Testimoni dari Seorang Makcik yang sudah 10 Tahun Menderita sakit Urat Saraf, bila kami menyarankan untuk mengamalkan Kapsul "PENAWAR RAJA SARAF" tak habis 1 botol yang mengandungi 20 set botol kecil. insyaa Allah semua jadi kembali Normal Alhamdulillah. (KLIK GAMBAR UNTUK VIDEO MAKCIK INI) 
tinyurl.com/ubati saraf

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...