Search This Blog

Tuesday, April 2, 2013

Pembanguanan dan Penilaian Bahan Pengajaran dan Pembelajaran

PENDAHULUAN Pengajaran Dan Pembelajaran (P&P) berasaskan web adalah konsep yang mengintegerasikan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communication Technology (ICT)) dalam sistem pendidikan. Ia merupakan satu perkembangan pendidikan hasil daripada ledakan ICT yang merujuk kepada perkembanagan teknologi tersebut dalam membuat penyelesaian mengakses maklumat ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan prestasi. Dalam memperkasakan profesion perguruan agar semua guru sentiasa bersaing dengan teknologi maklumat terkini, para guru digalakkan untuk mengintegrasikan ICT dalam proses P&P. Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja dapat mengakses maklumat dan pengajaran melalui web, tetapi mereka juga dapat terlibat dalam aktiviti pembelajaran yang merangkumi sesi perbincangan maya, penstrukturan pengetahuan serta membentuk suasana pembelajaran kendiri pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Selain daripada penglibatan aktif pelajar dalam proses pembelajaran melalui medium web yang dapat menghasilkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, ia juga mempertingkatkan tahap pembelajaran dikalangan pelajar. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) program pendidikan di Negara ini, khususnya bagi peringkat sekolah digubal berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menggambarkan bahawa pembvangunan insan itu perlulah seimbang dan menyeluruh perkembangannya dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dalam usaha untuk membina insan seperti yang dihasratkan, ilmu yang disampaikan perlu juga sesuai dengan perkembangan semasa dan keperluan Negara. ICT ialah satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Perkembangan ICT telah menukar wajah P&P dengan penggunaan computer, LCD dan pelbagai perisian multimedia yang canggih bagi memudahkan guru matapelajaran ICT, khasnya, menyediakan bahan pengajaran dan seterusnya mengaplikasikannya di dalam bilik darjah. Berdasarkan Buku Huraian Sukatan Pelajaran Malaysia bagi mata pelajaran ICT ini, tiada sebarang buku teks khusus yang ditetapkan untuk mata pelajaran tersebut. Ini disebabkan bidang ICT yang dicakupi dalam kurikulum ICT adalah luas serta bersifat dinamik. Tambahan pula, bidang ilmu ini adalah antara bidang ilmu yang paling pesat berkembang dan takrif serta skopnya sentiasa disesuaikan seiring dengan perkembangan bidang ilmunya. Bagi memberi sumbangan kepada kaedah alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran ICT ini, satu kajian mengenai pembangunan dan penilaian bahan pengajaran dan pembelajaran berasaskan web telah dijalankan. Memandangkan kemudahan dan penggunaan Internet semakin meluas, pengenalan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan web diharapkan dapat mempelbagaikan kaedah P&P. Menurut Norazah (2006),P&P berasaskan web yang bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada para pendidik menguruskan bahan pengajaran, menghasilkan persekitaran pembelajaran yang efektif, serta melibatkan penyertaan aktif di kalangan pelajar dalam proses P&P adalah sangat sesuai dijadikan kaedah alternatif dalam proses pengajaran ICT.

  PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB
P&P berasaskan web bukan sahaja bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada para pendidik menguruskan bahan pengajaran, menghasilkan persekitaran pembelajaran yang efektif malah ia juga dapat melibatkan penyertaan aktif dalam kalangan pelajar dalam proses P&P. Menurut Pang (1998) dalam kajiannya mengenai proses mengoptimumkan penggunaan web bagi mempertingkatkan hasil pengajaran, pengintegrasian P&P menggunakan web melibatkan penemuan dan penerimaan sumber, komunikasi, melakukan aktiviti P&P serta menghasilkan web. Oleh itu, untuk mengoptimumkan penggunaan web ke arah pengajaran yang lebih berkesan, guru harus merancang aktiviti pembelajaran di samping mengambil kira isi kandungan, penilaian formatif dan sumatif terhadap pelajar, melihat keperluan dan pengalaman pelajar semasa membina dan menerbitkan web serta mewujudkan unsur kolaboratif dan koperatif melalui web. Kajian untuk menilai kaedah pembelajaran secara web melalui proses pengajaran secara praktikal telah dikaji oleh Chang (2001). Tujuan kajian beliau ialah untuk melihat sama ada proses pembelajaran secara web dapat membantu memberikan kefahaman kepada pelajar semasa proses pembelajaran dijalankan dan mempertingkatkan kemajuan pembelajaran di kalangan pelajar. Dalam dapatan kajian beliau, 85.84 peratus pelajar mengatakan pembelajaran web sangat sesuai dan ia memberikan keseronokan semasa proses pembelajaran dijalankan. Jung et al. (2002) dalam kajian mereka telah mengkaji hubungan antara bidang akademik, semangat kolaboratif dan interaksi sosial terhadap kepuasan pembelajaran, penyertaan dan sikap terhadap persekitaran P&P berasaskan web. Interaksi akademik yang dimaksudkan meliputi interaksi di antara pelajar dan sumber pembelajaran atas talian di samping interaksi pelajar dan guru, manakala interaksi Pembangunan dan Penilaian Bahan Pengajaran dan Pembelajaran kolaboratif dalam kalangan para pelajar boleh berlaku apabila sekumpulan pelajar bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu topik atau berkongsi idea dan bahan-bahan untuk menyelesaikan masalah yang diberi. Interaksi sosial di antara pelajar dan guru berlaku apabila guru-guru menyesuaikan strategi untuk memperkembangkan kerjasama antara individu pelajar. Dapatan kajian menunjukkan interaksi dalam kumpulan secara kolaboratif sangat tinggi. Selain itu, pelajar-pelajar mempunyai perubahan sikap yang positif terhadap proses pembelajaran yang aktif ini. Satu kajian tentang ciri-ciri amalan kesan pembelajaran pada abad ke-21 yang menekankan ciri-ciri amalan pedagogi inovatif guru yang akan membawa pembaharuan terhadap pembelajaran telah dijalankan oleh Law et al. (2002). Dapatan kajian beliau membuktikan pelajar bersikap lebih positif, mereka berupaya mempelajari kemahiran literasi maklumat dengan menggunakan internet, mereka bentuk laman web bagi mempersembahkan projek mereka. Di samping itu, mereka juga berupaya untuk berfikir secara kritis, belajar dari pelbagai sumber, serta berupaya belajar dari komuniti mereka dengan saling hormat-menghormati idea di antara satu sama lain.

  PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERASASKAN WEB – WEBQUEST Salah satu model mengintegrasikan penggunaan web dalam aktiviti bilik darjah ialah pendekatan WebQuest (Dodge 1995). WebQuest merupakan aktiviti inkuiri yang mengarahkan sebahagian atau kesemua maklumat yang diperoleh daripada internet oleh pelajar. Pada asasnya, WebQuest mempunyai enam komponen iaitu Pengenalan, Tugasan, Maklumat, Proses, Penilaian, dan Kesimpulan. Model WebQuest ini direka bentuk oleh Dodge dan rakan sekerjanya March (1998), yang berfungsi sebagai rangka kerja yang boleh digunakan oleh guru untuk pembinaan bahan pembelajaran yang berpusatkan pelajar dengan menggunakan internet. Dalam bahagian Pengenalan, tajuk biasanya dilancarkan dengan memaparkan maklumat menarik tentang latar belakang dan cabaran tentang sesuatu masalah autentik. Kemudian diikuti dengan penerangan yang umum tentang tugasan yang diberikan dalam bahagian Tugasan. Satu set halaman web di mana pelajar boleh meneroka untuk memperoleh maklumat dalam melengkapkan tugasan mereka dibekalkan dalam bahagian Maklumat ataupun terdapat pada bahagian Proses. Di samping itu, dalam bahagian Proses terdapat juga penerangan langkah demi langkah yang perlu diikuti oleh para pelajar dalam melengkapkan tugasan mereka. Bahagian Penilaian pula menjelaskan kriteria penilaian, pada kebiasaannya penunjuk pada format digunakan untuk menilai hasil tugasan pelajar. Kesimpulan pula memberikan secara menyeluruh rumusan WebQuest, mengingatkan pelajar apa yang mereka telah pelajari, dan menggalakkan mereka memperluaskan pengalaman mereka dalam bidang yang lain. Rodriguez (2003) menyatakan banyak strategi dan pendekatan telah diperihalkan dalam kajian kepustakaan tentang penggunaan internet sebagai alat pembelajaran dalam kalangan pelajar. antaranya, WebQuest yang telah timbul sebagai aktiviti paling utama yang melibatkan pelajar dalam pembelajaran pendekatan Konstruktivisme yang berasaskan web. Kajian ini menekankan penggunaan WebQuest dan Projek Inkuiri Web yang dapat memajukan kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar. Di samping itu, WebQuest juga dikatakan dapat meningkatkan lagi komponen inkuiri ke peringkat yang lebih tinggi. Carroll et al. (2003) pula menyatakan bahawa salah satu cabaran yang dihadapi oleh kolej-kolej dan universiti-universiti sekarang ialah penggunaan teknologi baru yang berdigital. Salah satu kunci penyelesaian cabaran ini ialah mereka bentuk semula kursus tradisional yang diajar dengan memperbaiki pendekatan pedagogi dan menambahkan penyampaian kursus dengan menggunakan teknologi secara anjal. Mengikut pendapat mereka, teknologi harus difokuskan untuk memperbaiki kualiti keseluruhan, boleh mengakses data dengan mudah, cepat, dan meluas serta melibatkan para pelajar dengan menggunakanteknologi dalam P&P dengan secara meluas. Perihalan makna WebQuest, komponen-komponen WebQuest, kaedah untuk membangunkan sesuatu WebQuest yang baru, persepsi-persepsi pelajar dan pendidik tentang WebQuest ataupun mencari contoh-contoh WebQuest yang telah siap dibangunkan dan sebagainya. Rhynard (2002) dalam kajiannya tentang WebQuest menyatakan bahawa WebQuest merupakan satu strategi pengajaran dalam abad ke-21 di mana semakin ramai pelajar dilibatkan dalam proses P&P, semakin banyak ilmu pengetahuan yang akan mereka perolehi. Penyelidikan tentang otak, media, permainan video, teknologi dan program komputer interaktif memberikan maklumat tentang bagaimana para pelajar bermotivasi untuk belajar. Sebaliknya pembelajaran secara berkuliah, menyalin nota, dan menghafal fakta telah digantikan dengan kaedah pembelajaran yang baru sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya ialah kerja kumpulan secara koperatif, aktiviti secarahands-on, penggunaan kemahiran manipulatif, membangunkan models, videos, perisian komputer yang interaktif dan penyelidikan internet. Hasil kajian juga telah menyenaraikan beberapa kebaikan dalam penggunaan WebQuest: 1.Para pelajar diarahkan berfokus kepada halaman web di mana tumpuan utama ialah maklumat yang akan digunakan dalam WebQuest. 2.Objektif pembelajaran adalah jelas. 3. Jumlah maklumat ada hadnya. 4. Maklumat adalah benar dan boleh dipercayai. 5. Bersifat fleksibel di mana seseorang pelajar boleh berhenti ataupun mula sesuatu halaman web untuk memperoleh maklumat pada bila-bila masa. Selain itu, WebQuest juga sesuai digunakan pada sebarang subjek dan topik. Seseorang pengajar boleh memotivasikan kerja pelajar dengan mengarahkan inkuiri, contohnya mewujudkan senario misteri untuk menimbulkan minat pelajarnya untuk menemui jawapan. Dengan menggunakan pendekatan journalistic, para pelajar diandaikan untuk memainkan peranan penyiasat,pemberita, pengarang dan sebagainya. Dalam hal ini, pengajar menggunakan penilaian dengan memberi gred untuk objektif khusus yang telah dicapai oleh para pelajar sepanjang masa pelajar membuat tugasan. Sistem P&P Berasaskan Web – WebQuest ini mengaplikasikan unsur-unsur hipermedia seperti animasi, bunyi, grafik, hiperteks, dan warna yang menjadikan persembahan sistem lebih menarik. Pelajar berasa seronok sepanjang proses P&P. Hasil kajian ini juga mendapati sistem P&P Berasaskan Web – WebQuest ini juga dikatakan mesra pengguna kerana ia mempunyai butang-butang kawalan yang memudahkan navigasi. Di samping itu, penggunaan butang “back” dan hiperteks juga disediakan untuk memudahkan pengguna ka mana sahaja mengikut kehendak mereka. Hasil kajian ini disokong oleh Saunders (2003) yang mendapati pendekatan P&P yang berasaskan web ini mesra pengguna dan mampu menarik minat pelajar kerana web memenuhi keperluan sumber pembelajaran. Selain dari itu, responden juga menyatakan persembahan keseluruhan WebQuest ini adalah sesuai dan menarik untuk P&P mata pelajaran ICT Contohnya untuk menimbulkan minat dan keseronokan pelajar, bahagian Pengenalan boleh mewujudkan suatu situasi yang mengarahkan pelajar menyempurnakan suatu misi. Sebagai pengukuhan, ada latihan tambahan yang disediakan dalam bahagian tugasan. Bagi bahagian Tugasan telah disediakan fail PDF yang memudahkan pengguna mencetak latihan atau bahan-bahan yang perlu dicetak. Sebagai bantuan, setiap langkah untuk membuat tugasan disenaraikan dalam bahagian Prosedur. Dalam bahagian Penilaian pula dinyatakan kriteria pemarkahan. Pengguna boleh membuat tugasan atau melengkapkan projek dengan membuat semakan berdasarkan kriteria tersebut. Sebagai ganjaran, ada aktiviti minda yang terdapat di bahagian kesimpulan. Semua aplikasi yang terdapat dalam WebQuest yang telah dibangunkan mampu menarik minat pelajar terhadap bahan pengajaran yang dipersembahkan. Dapatan kajian ini sangat selari dengan hasil kajian Rhynard (2002). Dengan semua aplikasi yang terdapat dalam WebQuest, beliau telah menamakan WebQuest sebagai satu aktiviti bimbingan penyelidikan. Selain dari itu, Weller & Chiavacci (1999) dalam penyelidikan mereka ada melaporkan dengan adanya peringkat Proses dan Penilaian, para pelajar akan membuat tugasan mereka dengan langkah demi langkah dan akhirnya objektif dapat dicapai.

  RUMUSAN
Di dalam menghadapi kehidupan yang semakin hari semakin maju, terutamanya di dalam bidang pendidikan. Beberapa penambahbaikan perlu, dan harus wujud agar kita sentiasa bersaing dan berupaya menghasilkan pelajar-pelajar yang mempunyai sifat dan sikap umtuk terus maju. Oleh itu, penggunaan ICT dalam pendidikan amat perlu seperti WebQuest. WebQuest berfungsi sebagai rangka kerja yang boleh digunakan oleh guru untuk pembinaan pembelajaran yang berpusatkan pelajar dengan menggunakan internet. Para guru, khususnya yang mengajar mata pelajaran ICT perlu mempersiapkan diri untuk mengikut perubahan arus ICT yang dinamik. Mereka perlu sentiasa bersikap inovatif dan kreatif dalam mempelbagaikan pengajaran untuk mempertingkatkan kemahiran profesionalisme perguruan mereka. Secara amnya, untuk menjayakan penggunaan ICT dalam bidang pendidikan, semua pihak yang terlibat secara langsung seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pendidikan, Pentadbir Sekolah dan Guru, mahupun yang terlibat secara tidak langsung seperti pihak ibu bapa haruslah bekerjasama dan berusaha dengan gigih untuk mengatasi halangan-halangan yang timbul dalam usaha-usaha untuk menjayakan penggunaan ICT dalam bidang pendidikan.

CARA MURAH DAN MURAH RAWAT RESDUNG (KLIK)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...